Saiful Bukhari Tenang dan Redha Dengan Keputusan Mahkamah



KUALA LUMPUR – Bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan redha dengan keputusan Mahkamah Tinggi apabila membebaskan bekas majikannya itu daripada tuduhan kes liwat yang dibuatnya tiga tahun lalu
” Tidak di dunia, namun di Masyar PASTI. Redha dgn ketentuaNya.  Akn trs tenang, doa, istiqamah & sabar. Illahi Antal Maksudi Wa Ridhoka Mathlubi,” katanya dalam twitter miliknya.
Perbicaraan kes itu bermula pada 3 Februari 2010 iaitu kira-kira dua tahun tujuh bulan selepas Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008.
Kes itu mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan ekoran pelbagai permohonan difailkan oleh Anwar sehingga berpuluh-puluh kali penangguhan telah dibenarkan oleh mahkamah.
Mohd. Saiful Bukhari dalam blognya turut mengucapkan terima kasih di atas doa dan sokongan rakyat Malaysia terhadapnya sebelum ini. Dia juga meminta semua terus berdoa agar kebenaran membabitkan kes itu muncul. Dia turut menyelitkan sepotong ayat Al-Quran;
“Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar.” (At-Taubah 9:129)
Mohd. Saiful Bukhari turut menulis – Yang pasti, jika diambil nyawa, akan pergi dengan tenang, tiada lagi berhutang “Kebenaran” dengan sesiapa.
Dalam pada itu, dia juga berharap kesnya diadili hingga ke peringkat mahkamah atasan.
” Oleh itu, saya dan keluarga berharap agar pihak pendakwaraya dapat memfailkan dan membawa kes ini ke Mahkamah Rayuan,” katanya. - Oleh SYAHRIL A. KADIR

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story