Datuk Siti Beli Rumah RM1 Juta Di Australia



KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menandatangani perjanjian membeli sebuah pangsapuri satu bilik di The Istana dalam majlis pelancaran projek kediaman itu semalam.
Pemaju hartanah tempatan, Magna Prima Bhd. yang menjadi peneraju utama dalam pembinaan kediaman itu di Melbourne, Autralia menampilkan Siti Nurhaliza sebagai pembeli dan pelabur pertama unit kediaman mewah itu.
Dalam majlis pelancaran itu, Pengarah Eksekutif Magna Prima Bhd., Datuk Rahadian Mahmud berkata, sebanyak RM714 juta telah dilaburkan sebagai nilai pembangunan kasar projek tersebut.
Tidak menafikan pelaburan ke atas The Istana merupakan projek sulung syarikat itu, Rahadian melihat perkembangan projek itu sebagai langkah awal untuk memperluaskan perniagaan hartanah ke luar negara.
“Pelaburan ke atas The Istana merupakan projek sulung kami di luar negara dan sedikit sebanyak mempercepatkan langkah kami untuk meluaskan perniagaan ke peringkat serantau,” kata Rahadian.
Malah, perkembangan dan kemajuan pembinaan kediaman itu juga telah memberikan keuntungan di mana 62 peratus kediaman itu telah pun dijual kepada pembeli-pembeli warga Australia dan antarabangsa.
Kediaman The Istana yang dijangka siap dibina pada tahun 2014 juga memberikan peluang kepada warga Malaysia untuk membeli hartanah itu bagi yang menetap di negara tersebut.

“Kami melihat ramai orang memilih untuk membeli hartanah di luar negara terutamanya di Australia dan United Kingdom kerana kedua-duanya merupakan lokasi pusat pengajian tinggi malah golongan profesional muda Malaysia juga mula berminta untuk melabur ke Australia ketika ini,” katanya.
The Istana merupakan pangsapuri kediaman menara tunggal setinggi 25 tingkat terletak di A’Beckett Street iaitu di tengah-tengah kawasan pusat perniagaan Melbourne.
Sebelum ini, projek itu dikenali sebagai Dynasty Living yang dibangunkan di atas tanah sebesar 10,800 meter persegi yang mempunyai 320 unit kediaman.
Pertukaran nama kepada The Istana merupakan satu langkah strategik untuk mencerminkan ciri hartanah dan sentuhan arkitek Malaysia.
Oleh: NAIMAH SHAARI

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story