LAHIR ANAK DALAM TANDAS HOSPITAL

IPOH – Luluh hati seorang suami apabila isterinya bersalin dalam tandas sebuah hospital di sini, kelmarin, gara-gara kecuaian kakitangan wad bersalin yang tidur ketika isterinya menahan kesakitan.
Ketika kejadian, S Vasantan, 28, yang tidur dalam kereta berlari ke wad berkenaan setelah mendapat panggilan isterinya, I Rohvathyammah, 27, pada jam 12.51 pagi.
“Isteri ke tandas untuk buang air kecil. Dia terus duduk di atas simen sambil memegang pintu tandas. Ketika itulah dia telefon beritahu dia hampir melahirkan anak.
“Ketika mendapatkannya, saya dihalang untuk melihat bayi dan isteri saya yang diusung keluar dari tandas itu sehinggalah saya dapat menatap wajah anak saya pada jam 5 pagi semalam (kelmarin),” katanya kepada pemberita di Wisma DAP di sini, semalam.
Vasantan berkata, isterinya mengadu sakit menyebabkan dia memanggil doktor pelatih beberapa kali untuk memeriksa keadaan isterinya sebelum kejadian.
“Saya masukkan isteri ke hospital ini pada pagi 14 Februari. Pada jam 11.30 malam, isteri mengadu air ketuban sudah pecah dan memanggil doktor.

“Namun, dengan nada kasar doktor memberitahu ini perkara kecil dan berpesan kepada isteri untuk tidak memanggilnya,” katanya yang menerima bayi perempuan seberat 2.7 kilogram.
Beliau mendakwa, sebelum meninggalkan isteri, dia melihat lima hingga enam jururawat ketika itu tidur di meja pendaftaran dan kerusi malas. Manakala, doktor pelatih itu hanya membaca buku.
“Saya sakit hati dengan layanan jururawat dan doktor. Ini melibatkan maruah kerana anak saya dilahirkan di tempat yang tidak sepatutnya.
“Tindakan tatatertib perlu diambil pihak hospital kerana kecuaian petugas membiarkan isteri saya,” katanya yang akan membuat laporan polis terhadap kecuaian itu.
Sementara itu, Adun Tronoh, V Sivakumar berkata, dalam pertemuannya dengan timbalan pengarah hospital itu, mereka berjanji akan menyiasat dan keputusan akan diterima dua minggu lagi.

1 comments:

Anonymous said...

wow...en.vasantan...tindakan anda merupakan tindakan yang terbaik...iaitu menyebarkan isu-isu seperti ini...syabas en.vasantan.....secara tdk langsung..tindakan anda ini dpt meningkatkan kualiti kerja doktor-doktor,jururawat serta kakitangan hosp yg lain...

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story