Yusry nafi cemburu Lisa


BUKAN sebab cemburu. Bukan juga sebab ingin lebih mengenali hati budi bakal isterinya, pelakon cantik Lisa Surihani.
Itu jawapan yang diluahkan Yusry Abdul Halim tentang perubahan drastik posisi dirinya daripada pengarah filem Ular kepada pelakon utama atau hero filem terbaharu terbitan KRU Studios itu yang menyaksikan Lisa untuk karakter heroin.
Gandingan Yusry dan Lisa itu sekali gus merupakan yang pertama dan terakhir mereka sebelum kedua-duanya bakal ke jinjang pelamin pada 23 Februari ini.
Menurut Yusry, dia sudah begitu mengenali hati budi Lisa kerana sering menghabiskan masa bersama-sama pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 itu.
“Rasanya kami tidak perlu menjadikan gandingan bersama dalam filem Ular ini sebagai tempat untuk kami lebih mengenali hati budi masing-masing. Lisa juga sudah cukup mengenali hati budi saya kerana hampir setiap hari dia datang dan menemani saya di set penggambaran filem Vikingdom. Dia sudah tahu bagaimana perangai saya yang pendiam, pemarah, tegas dan sebagainya ketika di lokasi. Saya juga sudah begitu mengenalinya,” luah Yusry ketika ditemui pada sidang akhbar memperkenalkan barisan pelakon dan pengarah filem Ular di pejabat KRU Studios di Cyberjaya baru-baru ini.
Yusry juga menafikan bahawa dia cemburu andai melihat Lisa bergandingan dengan lelaki lain dalam filem itu. Ujarnya, selain bertindak sebagai pelakon utama dia juga turut menjadi pengarah bersama dengan Jason Chong untuk filem Ular itu nanti.
Menurut abang sulung Yusry, Norman Abdul Halim merangkap ketua pegawai eksekutif kumpulan KRU Studios pula, pada perancangan asalnya memang Yusry tidak terlibat membintangi filem itu kerana dia sibuk dengan penggambaran Vikingdom.
“Kebetulan penggambaran Vikingdom tamat sebelum bermulanya penggambaran filem Ular. Jadi, saya fikir ada baiknya jika digandingkan Yusry dan Lisa dalam Ular atas faktor kimia yang ada pada mereka. Yusry juga sudah lama tidak berlakon. Kali terakhir dia berlakon dalam filem Cicakman,” tutur Norman.
Ditanya adakah pemilihan Lisa sebagai watak utama dalam filem Ular disebabkan dia bakal menjadi adik iparnya, kata Norman, sudah lama dia ingin mengambil Lisa untuk membintangi filem terbitan KRU Studios. Tidak timbul soal dia bakal adik ipar atau kekasih Yusry.
Ungkap Norman, pemilihan Lisa sebagai watak utama Ular dibuat sebelum Yusry dan Lisa bercinta.
Ular merupakan filem bergenre creature-feature yang pertama seumpamanya di Malaysia. Walaupun dikhabarkan menyamai filem-filem Hollywood seperti Anaconda, Jaws, Piranha dan Snake In The Plane, ia akan digarap mengikut selera penonton tempatan.
Sementara itu, pengarahnya, Jason Chong, mengaku terpaksa mengambil risiko mengarahkan filem Ular.
Dia yang baru sahaja menerima pelawaan sebagai pengarah filem itu kira-kira tiga minggu lalu terpaksa mengambil masa selama dua minggu untuk merombak skripnya bagi mencantik dan menjadikan ia lain daripada filem creature-feature sudah ada.
“Walaupun saya pernah mengarah filem Belukar sebelum ini tetapi Ular memberikan satu cabaran lain kepada saya apabila ular dijadikan bahan utama dalam filem ini. Sudah tentu ia memberikan sedikit tekanan kepada saya tetapi saya bersyukur kerana mendapat bantuan daripada semua kru produksi dari segi memerah idea dan memantapkan lagi jalan cerita sebelum penggambaran dimulakan,” katanya mengenai filem yang bakal menjalani penggambaran di Pulau Pangkor selama 25 hari.
Jason memberitahu, filem yang sudah memulakan penggambaran pada 10 Januari itu juga akan menggunakan lima ekor ular sebenar selain bakal menggunakan imej janaan komputer (CGI).
“Kita hanya akan menggunakan lima ekor ular sawa betul dalam filem ini. Selebihnya hanya menggunakan CGI dan ular-ular getah bagi memberikan kesan sebenar,” ujarnya lagi.
Ular mengisahkan tentang Myra (Lisa Surihani), seorang wartawan jenayah agresif yang digantung kerja tetapi diarahkan untuk membuat liputan di sebuah resort di sebuah pulau. Myra ditemani oleh jurukameranya, Riki (Yusry) tidak pernah menyangka tugasan kali ini bukan satu tugasan biasa apabila percutian hebat yang dimenangi oleh 10 orang pemenang cabutan bertuah bertukar menjadi sebuah mimpi ngeri yang tidak diduga.
Seorang demi seorang tetamu yang hadir di pulau itu mati. Berjayakah Myra mengupas misteri di sebalik resort dan pulau itu?
Selain Lisa dan Yusry, filem Ular turut dibintangi oleh Namron, Zarina Zainudin, Izzue Islam, Sharifah Sakinah, Zarina Anjolie, Mamat Sepah dan Haron Salim Bachik.
sumber: kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story