KETIADAAN DIRA DI MELODI: KOMEN ZIZAN DI GANDINGKAN DENGAN AWAL ASHAARI



Kehilangan Dira Abu Zahar selama beberapa minggu dari program Melodi sememangnya menimbulkan tanda-tanya di kalangan peminat program ini. Ini kerana, baik Dira mahupun pihak pengurusan TV3, masing-masing tidak mahu mengulas lanjut. Komen Zizan Razak berhubung isu ini.
Jelas Zizan, dia juga tidak dapat mengulas lanjut kerana tidak dimaklumkan dengan sebarang perkembangan terkini.
“Saya memang tidak pernah bertanya kepada pihak produksi mahupun kepada Dira kerana mengganggap perkara ini agak sensitif untuk saya masuk campur. Setiap kali pihak produksi maklumkan Dira tidak dapat bersama saya, saya tidak banyak soal dan anggap Dira mempunyai komitmen lain. Malah, saya juga tidak pernah bertanya kepada Awal Ashaari tentang statusnya bersama Melodi. Jadi saya tidak tahu sama ada Awal hanya gantikan Dira buat sementara waktu atau sebaliknya.
Andai benar mereka (produksi Melodi) mahu gandingkan saya dengan Awal  selepas ini,  saya tidak punya masalah. Saya rasa senang bekerja dengan dia sebab Awal seorang yang profesional serta teratur.  Tapi jangan minta saya bandingkan Awal dengan Dira. Tak boleh buat perbandingan sebab setiap individu ada kekuatan tersendiri,” ujar Zizan yang ditemui di majlis meraikan kejayaan artis naungan Astro di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH 2011) baru-baru ini.
Sementara itu, Zizan juga sempat memberitahu yang dia sebenarnya masih tidak percaya dengan populariti dan pencapaian yang diraih sekarang ini. Jelas jejaka dari Kuala Terengganu ini semuanya berlaku dengan pantas.
“Saya tidak sangka boleh duduk sekali dengan artis-artis yang punya nama besar dalam industri. Malah, saya juga sukar hendak percaya dengan pencapaian sekarang ini. Namun, saya selalu mengingatkan diri sendiri supaya tidak mudah lupa diri. Saya hargai sokongan peminat yang sentiasa bersama saya.
Anugerah Pengacara Lelaki Popular yang saya menangi di ABPBH baru-baru ini adalah hadiah daripada peminat. Tanpa sokongan mereka pasti saya tidak akan  ke mana-mana,” ulas Zizan mengakhiri perbualan.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story