Bersih 3.0: Kerajaan Saman Ambiga, 9 Lain


Bersih 3.0: Kerajaan Saman Ambiga, 9 Lain
KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia telah memfailkan saman terhadap Pengerusi Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga dan sembilan ahli jawatankuasanya kerana gagal mengawal perhimpunan yang dianjur pada 28 April lepas sehingga menyebabkan kerosakan harta benda.
Kerajaan memohon ganti rugi khas berjumlah RM122,000 untuk kos pembaikan kenderaan polis, faedah, kos dan relif lain yang difikir wajar oleh mahkamah.
Writ saman difailkan pada 15 Mei lepas melalui Peguam Kanan Persekutuan bagi pihak kerajaan Malaysia. Pihak media memperoleh writ saman itu Rabu.
Ambiga ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima writ saman itu kira-kira pukul 3.25 petang.
Dalam pernyataan tuntutan itu kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai plantif menamakan Ambiga, Maria Chin Abdullah, Zaid Kamarudin, Haris Fathillah Mohamed, K.Arumugam, S.Arul Prakkash, Wong Chin Huat, Dr Ahmad Farouk Musa, Toh Kin Woon dan Andrew Khoo sebagai defendan.
Kerajaan Malaysia turut memohon satu deklarasi bahawa defendan-defendan sebagai penganjur Bersih 3.0 telah mengingkari Seksyen 6(2)(g) Akta Perhimpunan Aman 2012 di mana mereka mempunyai tanggungjawab antara lainnya untuk memastikan bahawa perhimpunan yang diadakan tidak akan menyebabkan kerosakan kepada harta benda.
Dalam pernyataan tuntutan, Kerajaan mendakwa perhimpunan di sekitar Dataran Merdeka itu menjadi tidak aman kerana peserta perhimpunan telah merempuh halangan/sekatan oleh polis.
Pada hari itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada di sekitar kawasan itu bagi memastikan mereka tidak melanggar perintah yang dikeluarkan Mahkamah Majistret pada 26 April lepas yang melarang perhimpunan di Dataran Merdeka dan orang awam agar tidak hadir, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam apa-apa perhimpunan dari 28 April hingga 1 Mei 2012.
Kerajaan mendakwa defendan telah cuai menjalankan tanggungjawab mereka sehingga menyebabkan kerosakan harta benda.
Mereka juga gagal mengawal peserta perhimpunan yang terlalu ramai dan gagal mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan perhimpunan itu berjalan dengan aman.
Akibatnya kerajaan terpaksa menanggung kerugian yang telah ditaksirkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi kos pembaikan kenderaan sebanyak RM122,000.
Kes ini akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Sivil Dr Prasad Sandosham Abraham pada 13 Jun. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story