‘Saya tak maaf’


SEDIH...Ibu Nur Suhaida, Zarina tidak dapat menahan sebak.
SEDIH...Ibu Nur Suhaida, Zarina tidak dapat menahan sebak.
KUALA LUMPUR: “Pemandu kereta yang melanggar anak saya itu kejam. Jika dia tak melarikan diri, tapi membawa anak saya ke hospital, mungkin nyawanya boleh diselamatkan.
“Saya tak akan maafkan perbuatan pemandu kereta itu,” kata Zarina Ahmad, 34, ibu kepada Nur Suhaida Arman, 18, yang terbunuh dalam kejadian langgar lari di Kilometer 50.1 Lebuh raya Kesas dari arah Sungai Besi ke Petaling Jaya, jam 1 pagi semalam.

Nur Suhaida yang membonceng motosikal dan rakannya, Ana Najwa Mohd Noor, 18, menunggang terbunuh apabila dirempuh dari belakang ketika mereka dalam perjalanan pulang dari rumah rakan di Ampang ke rumah masing-masing di Klang.
Nur Suhaida maut di tempat kejadian manakala Ana Najwa meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) jam 5.30 petang semalam.

Menurut Zarina, sebelum kejadian itu, Nur Suhaida sempat makan malam bersamanya sedangkan dia tidak pernah berbuat demikian sebaik pulang sebelum ini.

“Arwah ada memberitahu dia sudah memohon pengajian diploma dalam jurusan Komunikasi Massa kerana mahu menjadi pembaca berita kelak.
“Rakan sekerja anak kedua saya itu memberitahu arwah turut menunjukkan petanda pelik di tempat kerja dengan meminta maaf kepada semua rakan,” katanya.

Nur Suhaida dan Ana Najwa rakan karib sejak di sekolah rendah lagi dan mereka juga tinggal berjiran di Port Garden, Klang, Selangor.
Mohd Fariez Mohd Nor, 20, abang kepada Ana Najwa berkata, adiknya yang dipanggil Najwa tidak menunjukkan sebarang perubahan dan hanya meminta izin ibunya untuk ke Ampang untuk bertemu rakan.

“Selepas kemalangan itu, adik saya koma, tapi doktor maklumkan harapan untuk dia hidup hanya 10 peratus kerana kecederaan parah di kepala. Pada jam 5. 30 petang, doktor memberitahu arwah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, Najwa bercita-cita menjadi pegawai polis dan malah sejak di bangku sekolah, dia menyertai pasukan Kadet Polis, termasuk menyertai pelbagai perkhemahan polis.

“Saya sedih dan terkilan kerana cita-citanya tidak kesampaian,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, kedua-dua mangsa dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftaran dan jenis.

“Kedua-dua mangsa terjatuh dari motosikal Yamaha Lagenda yang ditunggang selepas dirempuh dengan kuat dari arah belakang sebelum pemandu kenderaan itu melarikan diri,” katanya ketika dihubungi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story