Wardina Terima Panggilan Lucah



KUALA LUMPUR, 28 MEI 2012: Personaliti TV, Wardina Saffiyah Fadhlullah, 33, semalam telah membuat laporan polis bahawa dirinya telah diganggu dengan panggilan lucah daripada seorang lelaki bernama Arif.

Dalam laporan akhbar Harian Metro hari ini,Wardina berkata lelaki itu telah membuat panggilan sebanyak dua kali kepadanya sambil mendakwa dia merupakan kakitangan sebuah stesen penyiaran dan mahu menemubualnya.
Tambah Wardina, lelaki itu membuat panggilan pada pukul 5 pagi dan diikuti pada pukuk 9.15 pagi.

"Saya tidak menjawab panggilan telefon yang pertama. Pada pukul 9.15 pagi, lelaki itu menghubungi saya sekali lagi tetapi apabila saya tanya dia dari stesen mana, dia kata tidak boleh beritahu.

"Selepas itu dia mula mengeluarkan perkataan-perkataan yang saya sendiri malu untuk sebut.

"Saya tidak faham kenapa ada orang yang sanggup melakukan perkara seperti itu," kata Wardina yang ditemui membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati, Hulu Klang, semalam.

Bekas pelakon itu juga masih trauma dengan panggilan berunsur lucah berkenaan dan terkilan dengan sikap lelaki terbabit yang dikatakan seorang lelaki tempatan dan beragama Islam.

"Saya bersimpati dan tertanya kenapa dia bersikap sedemikian? Kenapa perlu melakukan perbuatan yang mengaibkan dan sukar untuk saya luahkan?" jelas Wardina lagi.

Ditanya mengenai firasatnya mengenai lelaki terbabit, Wardina memberitahu daripada suaranya lelaki itu berkemungkinan masih muda dan sengaja melakukan perbuatan jijik itu.

"Laporan polis ini dibuat sebagai pengajaran kepadanya kerana tindakannya itu bukan perkara main-main. Dia melakukan gangguan seksual ke atas saya dan menyebabkan saya berasa tidak selamat," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story