Ditemui Mati Lepas Kejar Pencuri


Ditemui Mati Lepas Kejar Pencuri
JOHOR BAHRU : Hasrat seorang peniaga untuk mengejar pencuri kereta Honda Civic miliknya tidak kesampaian apabila dia maut selepas terjatuh daripada tingkat 16 Pangsapuri Sri Impian, Larkin Perdana, di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu berlaku ketika Nor Firdaus Abdul Ghani, 21, cuba mengambil telefon bimbitnya yang tercampak di luar kaki lima tingkat berkenaan sewaktu mengejar pencuri keretanya. Kereta itu bagaimanapun dapat dilarikan.
Abang mangsa, Nor Hisham, 37, memberitahu, ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Felda Papan Timur, Kota Tinggi, sedang bertemu bakal tunangnya di pangsapuri berkenaan sebelum terdengar enjin kereta miliknya dihidupkan.
Katanya, sebaik menjengah di luar kaki lima, mangsa yang berniaga di Kota Tinggi melihat keretanya cuba dilarikan lalu menghubunginya sebelum bertindak mengejar suspek.
Difahamkan, ketika mengejar suspek, telefon milik Nor Firdaus terjatuh dan dia dipercayai telah melangkah keluar dari kaki lima terbabit untuk mendapatkan kembali alat komunikasi itu walaupun cuba dihalang oleh teman wanitanya.
“Arwah menghubungi saya kira-kira pukul 3.12 pagi bagi meminta tolong mengejar suspek tetapi sebaik saya tiba kira-kira 15 minit kemudian, saya diberitahu bahawa adik saya telah terjatuh.
“Saya dimaklumkan, teman wanita adik saya telah cuba menghalang Nor Firdaus dengan memegang tangan arwah tetapi gagal,” ceritanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sultanah Aminah di sini semalam.
Menurut Nor Hisham, arwah amat menyayangi kereta miliknya yang baru diubah suai dengan kos mencecah RM40,000. – Kosmo

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story