Kontroversi Tak Beri ‘Kudis’ Kepada Ika Nabila



Ika Nabila
PETALING JAYA: Aktres muda Ika Nabila (Ika) berharap kedatangan bulan Ramadan pada kali ini melahirkan ketenangan buat dirinya yang sebelum ini diasak kontroversi silih berganti.
Pemilik nama sebenar Ika Nabila Abdul Rahim, 23, ini berkata, dia tidak mahu merunsingkan fikiran dengan cerita-cerita buruk yang timbul kerana ia tidak menggugat atau mematahkan semangat untuk terus bekerja dalam bidang seni.
“Saya bosan sebenarnya kerana orang terus bertanya mengenai kontroversi yang timbul sebelum ini. Bagi saya, semua gosip itu hanya permainan dunia hiburan.
“Semoga kehadiran Ramadan pada kali ini menjadikan saya lebih tenang dan melupakan semua kontroversi yang tercetus sebelum ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini.
Bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam pernah didakwa kononnya sebagai peminum arak selepas foto dia memegang gelas berisi air seakan minuman beralkohol tersebar luas di Internet pada awal tahun ini.
Tidak berakhir di situ, gadis dari Pulau Pinang ini turut didakwa menjalinkan hubungan sejenis dengan pengurusnya Adlin atau Kak Long, selain tuduhan memiliki alat permainan seks yang dikenali sebagai ‘dildo’.
Ditanya adakah dia terkesan daripada kontroversi yang timbul, Ika berkata dia enggan melatah dan tenang menyangkal setiap tuduhan kerana mengetahui kebenaran di sebaliknya.
“Saya tidak buat benda-benda yang dituduh jadi saya tidak mahu ambil kisah dengan apa pun cerita yang timbul.
“Ia tidak menjadi ‘kudis’ kepada saya pun. Yang penting, saya dan orang tua tahu kebenaran di sebalik setiap cerita yang timbul.
“Bukan bermaksud saya tidak tertekan atau terkilan dengan gosip-gosip itu, cuma saya tidak mampu untuk tutup mulut orang daripada terus bercakap,” katanya.
Mengenai kebimbangannya terhadap kesan cerita-cerita yang timbul ke atas dirinya, Ika berkata peminat pada hari ini sudah bijak menilai antara cerita peribadi dan kerja seseorang selebriti.
“Saya sentiasa okey walau seberat mana fitnah ke atas saya. Tiada apa yang perlu saya malu apabila cerita negatif terus dikaitkan dengan saya kerana ia tidak berlaku.
“Pesan ibu bapa agar saya berhati-hati selalu saya sematkan dalam diri. Lagipun, peminat pada hari ini tidak semudahnya menghukum kerana mereka bijak menilai bakat dan kerja kita.
“Malah, saya sentiasa mendapat sokongan peminat untuk menghadapi kontroversi yang timbul,” katanya yang kini sibuk di lokasi drama bersiri Darjat.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story