Sasha Elite Tumpu Anak



Tiada seorang wanita di dunia ini yang inginkan perkahwinan mereka berakhir dengan perceraian yang juga perkara paling dibenci dalam agama Islam.
Namun, itulah hakikat terpaksa diterima bekas anggota kumpulan Elite yang juga pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris dan pemilik nama sebenar, Sasha Mohamad Saidin, 35.

Selepas berfikir masak-masak, dia reda rumah tangga yang dibina dengan bekas penyanyi rock kumpulan Rebek yang juga warga Indonesia, Salyo Priyanto Notosoemarsono, 36, selama lima tahun lalu (sejak 2007) terpaksa diakhiri dengan perpisahan.
Sasha juga sudah ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 25 Jun lalu untuk memfailkan perceraiannya dengan Salyo. Enggan mengulas lanjut mengenai keretakan rumah tangganya itu, kakak kepada pelakon kacak Zain Saidin ini berkata, dia sudahpun bersedia memegang status sebagai ibu tunggal.
Kini, fokusnya adalah untuk bekerja keras membesarkan anak tunggal kesayangan mereka, Adam Aryasenna Notosoemarsono, 3, dengan sempurna seperti ibu bapa lain.
“Sebagai ibu, impian saya ingin memberikan yang terbaik pada Arya. Sebab itu saya sudah menghantarnya ke tadika kerana ingin memberikannya pendidikan lebih awal pada usia 3 tahun.
“Saya juga perlu menjaga Arya secara sepenuh masa kerana tidak ada pembantu rumah. Arya, seorang kanak-kanak yang lasak dan aktif dan saya perlu memberi sepenuh tumpuan padanya,” katanya.
Ditanya kenapa dia seakan-akan menyepi dari bidang seni, kata Sasha, dia perlu membataskan aktiviti seni kerana perlu memberi tumpuan pada rumah tangganya sebelum ini.
“Saya juga berlakon dalam drama bersiri sebanyak 13 episod, Natrah arahan Along Kamaludin terbitan produksi Erma Fatima untuk saluran RTM.
“Saya memegang watak Adeline Hertogh yang juga ibu kepada Natrah. Tapi drama ini masih belum ditayangkan di kaca televisyen. Selain itu, saya saya juga banyak memperaga dan menjadi model catwalk termasuk untuk busana Muslimah,” katanya.
Sasha ditemui ketika sambutan Hari Ibu anjuran majalah Harmoni yang berlangsung di Hotel Sunway Putra di sini, baru-baru ini.
Jiwa Sasha juga sudah sebati dalam bidang nyanyian. Malah, dia tidak pernah menganggap kumpulan Elite sudah berkubur walaupun mereka tidak seaktif dulu.
“Saya bersama anggota Elite lain iaitu Azza, Linda dan Watie dapat melepaskan rindu beraksi di pentas semula ketika konsert sambutan ulang tahun KRU yang ke-20 sebelum ini.
“Peminat juga terhibur dan menyanyi bersama rangkaian lagu yang kami dendangkan ketika itu iaitu GIG, Trauma dan Manisnya Senyumanmu.
“Saya juga impikan untuk bikin album baru bersama Elite dan mendapat sentuhan daripada KRU yang pernah membentuk kumpulan ini dulu. Bagaimanapun, ia masih dalam perancangan kerana anggota Elite masing-masing sudah berkahwin dan ada komitmen pada keluarga,” katanya.
Selain mengurangkan imej seksi, Sasha juga berjinak-jinak untuk lebih mendalami agama Islam ketika ini.
“Saya buat perubahan ini bukan kerana dapat mimpi dan sebagainya kesedaran itu datang dalam diri dengan sendirinya.
“Mungkin orang tidak tahu ibu saya juga aktif dengan Angkatan Belia Islam Malaysia. Saya pula baru sekarang ingin lebih mendalami agama Islam walaupun belum berhijab seperti ibu saya.
“Saya tidak ada masalah mengenakan tudung dan sudah ada koleksi sendiri serta tidak kekok bertudung bila ke kelas usrah dan majlis berkaitan agama. Saya juga akan bertudung apabila tiba masa yang sesuai satu hari nanti.
“Saya sudah mula belajar usrah dengan ustaz dan mendalami al-Quran ketika ini. Insya-Allah, saya bercadang untuk khatam al-Quran sebelum menjelang Ramadan nanti,” katanya.
Sebelum ini, Sasha pernah berkahwin kali pertama dengan Jason Skinner atau nama Islamnya, Johan Abdullah Skinner pada 21 Jun 2003 di Masjid Central Regent Park, London, namun mereka berpisah dua tahun kemudian. 

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story