TAHUKAH ANDA SIAPA YANG MENCIPTA TALI PINGGANG KELEDAR KERETA?




Tidak kira apa jenama kenderaan yang dipandu setiap hari, tahukah anda bahawa di dalamnya terselit teknologi keselamatan daripada Volvo? 

Cukup terkenal dengan inovasi teknologi keselamatan untuk kenderaan, tali pinggang keledar keselamatan tiga titik merupakan salah satu ciptaan terpenting Volvo yang memberi sumbangan besar dalam industri automotif dunia.

Kini, alat keselamatan yang direka oleh jurutera Volvo, Nils Bohlin pada tahun 1959 meraikan ulang tahun ke-50. Sejak digunakan secara meluas, tali pinggang keledar dikatakan telah menyelamatkan lebih satu juta nyawa.


Menjadi satu peralatan standard di dalam setiap kenderaan, ia merupakan asas kepada sistem keselamatan yang berfungsi bersama ciri-ciri tambahan seperti beg udara, tali pra- regangan dan pengehad tolakan (force limiter). 

Dengan satu cara pemakaian yang mudah, tali pinggang keledar mampu menyelamatkan pengguna kenderaan daripada mengalami kecederaan serius atau kematian jika berlakunya kemalangan.

"Ini bukanlah rekaan sistem keselamatan yang pertama daripada Volvo. Namun, impak penggunaan tali pinggang keledar sangat signifikan. Oleh kerana potensinya, Volvo Cars mengambil keputusan untuk berkongsi patennya dengan pengeluar kenderaan yang lain," jelas Presiden Volvo Car Malaysia yang baru dilantik, Goran Larsson.

Memulakan kerjaya bersama Volvo Cars sejak 1984, Larsson sebelum ini merupakan Presiden Volvo Cars Taiwan selama tiga tahun. Dia juga presiden pejabat serantau bagi Volvo Car Turkey & Istanbul.

Larsson gembira apabila mengetahui kerajaan Malaysia telah menguatkuasakan penggunaan tali pinggang keledar bagi penumpang belakang mulai tahun ini. 

Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pada tahun 2008 membuktikan bahawa penggunaan tali pinggang keledar belakang mampu mengurangkan risiko kecederaan serius dan kematian sehingga 50 peratus.

Alat keselamatan itu direka dengan sempurna bagi memastikan tubuh penumpang kekal berada di tempat duduk jika berlaku kemalangan. Volvo juga meneruskan usaha mencipta sistem keselamatan seperti kerangka yang menggunakan pelbagai gred keluli, beg udara pintar, sistem kestabilan kenderaan elektronik dan banyak lagi.

"Daripada rekaan Bohlin 50 tahun lalu sehinggalah ciri City Safety yang ada dalam model terbaru Volvo XC60, ia membuktikan bahawa Volvo sentiasa mencipta cara baru bagi memastikan penumpang kenderaan kekal selamat.
"Semua ciri keselamatan ini selari dengan komitmen Volvo menjelang tahun 2020 bahawa tiada siapa akan mati atau cedera parah ketika memandu model Volvo yang baru," ujar Larsson.
sumber

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story