Sasha Terbuka Hati Untuk Berhijrah



KUALA LUMPUR – Bekas anggota kumpulan Elite, Sasha Saidin bersyukur kerana Allah S.W.T telah membuka pintu hatinya untu berhijrah sedikit demi sedikit.
Keinginannya untuk berubah datang apabila dia kerap menghadiri majlis-majlis atau kelas ilmu agama setelah diajak oleh rakan-rakannya.
Walaupun masih lagi baru dalam mengenal erti sebenar berhijrah, Sasha tidak berani menentukan konsep sebenar hijrah.
Justeru itu, dia hanya meletakkan biar Allah S.W.T sahaja yang patut menilai penghijrahan seseorang hambaNya.
“Saya perasan Allah seperti telah membuka pintu hati saya untuk mendalami ilmu agama selepas saya didekati oleh rakan-rakan yang minat dan mengajak ke kelas agama dan Usrah.
“Saya tidak berani nak sifatkan konsep hijrah Allah sebenar bagaimana tetapi saya sedar hati saya sudah mula terbuka sedikit demi sedikit untuk mendekati ilmu agama. Bagi saya hanya Allah sahaja yang boleh menilai sama ada seseorang itu sudah berhijrah atau tidak,” kata Sasha yang dipetik dari laman portal Murai.com.
Untuk memastikan dirinya berpegang kepada niat untuk berhijrah, Sasha ketika ini sedang membersihkan hatinya selain banyak mendalami ilmu agama.
Malah, dia juga berasa semakin tenang dengan perubahan yang dia cuba lakukan.
“Saya kini sedang membersihkan hati dan mula mempelajari lebih banyak ilmu agama.
“Tapi Alhamdulilah, hati saya lebih tenang kini apatah lagi saya baru sahaja khatam senaskah kitab al-Quran yang saya mulakan sejak 6 bulan,” katanya.
Mengetahui yang masyarakat pastinya akan bercakap mengenai penampilan dirinya, Sasha tidak mahu terburu-buru mengubah cara pakaiannya.
Sebaliknya, dia mahu melakukannya secara perlahan-lahan dengan niat hati yang ikhlas.
“Namun, saya belum lagi berhijab sepenuhnya dan hanya mula berpakaian sopan apabila di luar. Saya rasa penghijrahan itu harus bermula daripada hati dan baru ia akan disertai dengan perlakuan.
“Tetapi setiap kali ke kelas Usrah setiap hari Jumaat dan juga beberapa kelas agama saya pasti akan mengenakan hijab penuh,” luahnya lagi.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story