Kelantan Julang Piala M’sia, Lengkapkan Kejuaraan Trebel


Kelantan Julang Piala M'sia, Lengkapkan Kejuaraan Trebel
SHAH ALAM — Kelantan melakar kejayaan cemerlang apabila
menjulang Piala Malaysia 2012 setelah menumpaskan Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) 3-2 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Indra Putra Mahayuddin muncul wira pasukan ‘The Red Warriors’ apabila
menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat
2-2 dalam perlawanan sepenuh masa 90 minit.
Kemenangan bersejarah itu sekali gus melengkapkan kejuaraan trebel buat
pasukan Kelantan selepas muncul juara Piala FA dan Liga Super musim ini, iaitu
sesuatu yang kali terakhir dilakukan Kedah selama dua musim berturut-turut pada
2007 dan 2008.
Pencapaian anak buah Bojan Hodak mendakap piala keagungan bola sepak tanah
air itu kali ini adalah yang kedua selepas kali pertama memenanginya pada 2010
apabila menumpaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Walaupun turun tanpa penyerang import dari Lubnan, Mohamed Ghaddar di
jentera serangan, ia tidak sedikit pun menjejaskan asakan pasukan dari Pantai
Timur itu bagi menyekat ATM daripada melakar sejarah menjulang piala berprestij
itu buat pertama kali.
Barisan pemain ATM, yang digelar skuad ‘The Gladiators’ ternyata gagal
menyekat kemaraan pasukan Kelantan sekali gus melepaskan peluang menebus
kehampaan mereka di pentas final sulung 46 tahun lepas apabila tumpas 0-1 kepada
Selangor.
Sebaik permainan bermula, Kelantan terlebih dahulu menguji ‘kereta kebal’
ATM yang diterajui pemain pertahanan kebangsaan Aidil Zafuan Abdul Razak.
Penyerang berbisa Norshahrul Idlan Talaha hampir meletakkan pasukan ‘The Red
Warriors’ di hadapan pada minit ke-15 namun tindakan pantas penjaga gol ATM,
Mohd Farizal Harun berjaya menyelamatkan keadaan dengan menepis keluar bola.
Kelincahan Norshahrul sering mengkucar-kacirkan benteng pertahanan ‘The
Gladiators’ dan seminit sebelum separuh masa pertama tamat, beliau menyumbat gol
pertama pasukan Kelantan menerusi sepakan leret dari dalam kotak penalti.
Tiga minit selepas permainan bersambung babak kedua, sepakan kencang pemain
tengah ATM Rezal Zambery Yahya dari luar kotak penalti berjaya menyamakan
kedudukan.
Bagaimanapun, kegembiraan pasukan ATM tidak kekal lama apabila Norshahrul
menjaringkan gol kedua ‘The Red Warriors’ pada minit ke-50.
Walaupun ketinggalan, barisan pemain ATM tidak berputus asa dan mereka
berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-62 menerusi tandukan pemain import
Marlon Alex James hasil sepakan percuma daripada rakan sepasukan.
Kedudukan terikat 2-2 itu berlanjutan sehingga tamat perlawanan sebenar 90
minit.
Indra Putra muncul wira apabila rembatan cantiknya hasil hantaran Mohd Nurul
Azwan Roya berjaya memperdaya Mohd Farizal pada minit ke-96 untuk memastikan
kemenangan mutlak skuad The Red Warriors.
Norshahrul dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia
edisi ke-86 itu.– BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story