Apakah Penstrukturan Semula Air Mampu Selesaikan Krisis Air Rakyat Selangor?

Apakah Penstrukturan Semula Air Mampu Selesaikan Krisis Air Rakyat Selangor?

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menegaskan bahawa pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 tidak akan diluluskan sekiranya usaha penstrukturan semula air itu gagal dilaksanakan baru-baru ini.
Dengan itu, rakyat Selangor perlu bersiap sedia untuk hadapi krisis air yang serius pada tahun 2014.
Beliau turut membentangkan“kertas putih” Laporan Penstrukturan Semula Perkhidmatan Air Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta menyalahkan Kerajaan Pusat di atas kegagalan penstrukturan semula industri air tersebut.
Kononnya Kerajaan Pusat enggan turut serta dalam pengambil alihan syarikat-syarikat konsesi yang bertanggungjawab terhadap operasi industri air di negeri itu.
Keempat-empat syarikat konsesi itu ialah Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH), Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).
Laporan “kertas putih” itu juga menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor telah gagal untuk membeli kesemua syarikat-syarikat konsesi air berkenaan setelah tiga kali tawaran yang dibuat telah ditolak.
Persoalannya, apakah benar Kerajaan Pusat enggan bekerjasama sedangkan di dalam “kertas putih”, muka surat 18, tertulis mengenai surat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang menyokong penuh penstrukturan semula tersebut.
Malah Muhyiddin juga menjelaskan bahawa Kerajaan Pusat memberikan kebenaran untuk kerajaan pimpinan Abdul Khalid untuk membeli semua syarikat konsesi air di Selangor.
Laporan itu di muka surat 22 mengatakan bahawa sekiranya tiada maklum balas dalam tempoh empat belas hari dari tarikh 28 September 2012, Kerajaan Negeri Selangor beranggapan bahawa Kerajaan Pusat bersetuju dengan penstrukturan yang dicadangkan.
Kerajaan Negeri Selangor juga seterusnya akan mengemukakan tawaran pengambilalihan kepada syarikat-syarikat konsesi air.
Persoalannya kenapa tawaran pengambilalihan belum lagi dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor sehingga kini?
Dalam hal ini, terpulanglah atas kebijaksanaan Abdul Khalid dan kerajaan pimpinannya untuk berunding harga serta melakukan proses perundingan dengan syarikat-syarikat konsesi air itu.
Abdul Khalid tidak punya hak untuk memaksa Kerajaan Pusat untuk campur tangan dalam hal pembelian syarikat-syarikat terbabit dan janganlah pula cuba melindungi kegagalan diri sendiri di sebalik kepentingan rakyat.
Lagipun, sebagai seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang “tersohor”, sudah tentu Abdul Khalid mampu menggunakan kepakaran dan kehebatannya bagi menjayakan urusniaga yang bernilai berbilion ringgit itu, bukan?
Mengenepikan sentimen politik yang berbeza serta berdepan kedegilan Khalid, Kerajaan Pusat terpaksa membelanjakan sebanyak RM606 juta bagi tujuan mitigasi air untuk memastikan seluruh rakyat di Selangor dan sekitar Lembah Klang menerima bekalan air bersih yang mencukupi.
Justeru itu, wajarkah Kerajaan Pusat disalahkan dan dituduh enggan memberi kerjasama dalam penstrukturan semula air di Selangor?
Di dalam laporan “kertas putih” itu juga tertera dengan jelas sebuah jadual di muka surat 12 yang menunjukkan rundingan-rundingan di antara Kerajaan Negeri Selangor dan keempat-empat syarikat konsesi air itu.
Rundingan pertama telah berlangsung pada tarikh 13 Februari 2009 dengan penawaran harga sebanyak RM5.709 bilion bagi mengambil alih keempat-empat syarikat tersebut, ditolak mentah-mentah oleh syarikat-syarikat terbabit.
Rundingan kedua pula berlaku pada tarikh 25 Jun 2009, di mana sebanyak RM9.218 bilion telah ditawarkan kepada syarikat-syarikat itu. Dalam penawaran itu, dua dari syarikat tersebut iaitu ABASS dan SPLASH telah bersetuju menerima tawaran itu, manakala PNSB dan SYABAS menolak.
Mengejutkan, kesemua syarikat-syarikat konsesi berkenaan menolak tawaran ketiga Abdul Khalid pada rundingan kali terakhir yang dibuat pada 31 Januari 2010 meskipun mereka ditawarkan dengan harga yang lebih tinggi bernilai RM9.227 bilion.
Persoalannya, mengapa ABASS dan SPLASH yang bersetuju dengan tawaran Kerajaan Negeri Selangor pada 25 Jun 2009 mengubah fikiran pada 31 Januari 2010 walaupun ditawarkan dengan harga yang lebih baik? Dan ABASS adalah anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor.
Sudah tentu ada yang tidak wajar di dalam tawaran tersebut kerana sebab-sebab penolakan itu tidak dinyatakan, bukan?
Namun sekiranya penstrukturan semula air di Selangor itu berjaya dilaksanakan sekalipun, apakah masalah krisis air yang bakal melanda rakyat Selangor dan kawasan sekitar Lembah Klang akan dapat diselesaikan?
Jika Abdul Khalid beranggapan bahawa penstrukturan semula air itu penting bagi Kerajaan Negeri, beliau juga perlu tahu bahawa pembinaan loji Langat 2 lebih penting dan sangat bermakna bagi setiap rakyat yang tinggal di Selangor, Lembah Klang, Putrajaya dan kawasan sekitarnya.
Abdul Khalid perlu sematkan di kotak pemikirannya bahawa semakin lama beliau berdolak-dalih dan menangguh-nangguhkan pembinaan loji Langat 2, maka semakin panjanglah tempoh rakyat Selangor tidak mendapat bekalan air bersih kelak.
Ia disebabkan oleh pembinaan loji yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat melalui tender terbuka itu sudah tentu memakan masa yang agak lama untuk disiapkan dan sedia untuk beroperasi sepenuhnya.
Justeru itu, sekiranya Abdul Khalid merupakan seorang Menteri Besar yang bersikap profesional dan mementingkan rakyat, beliau sepatutnya memberikan komitmen dan kerjasama erat kepada pembinaan Langat 2 serta menggesa ia dibina dengan segera.
Lagipun, Kerajaan Pusat juga dikatakan akan menyerahkan hak operasi dan pengendalian loji berkenaan kepada Kerajaan Negeri Selangor sepenuhnya sebagaimana operasi Loji Rawatan Air Sungai Labu sebelum ini.
Cukuplah bermain politik dan mempolitikkan isu air di Selangor.
Janganlah disebabkan berlainan fahaman politik dan mengambil kesempatan di atas pilihanraya umum yang bakal menjelang tidak lama lagi maka rakyat Selangor pula yang menjadi mangsa mainan politik yang tidak bertepi…sumber

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story