Mat Rempit Bergelar Usahawan





Tuan Hasroy (kanan) turut dibantu adik-beradiknya mengasingkan isi ikan sebelum dapat diproses untuk dijadikan keropok keping.




MARANG - "Yang paling saya sedih adalah ketika mengambil keputusan berhenti sekolah ketika masih di tingkatan empat di sebuah sekolah di sini gara-gara terlalu taksub dengan motosikal,” kata Tuan Hasroy Tuan Hassan, 24.

Tuan Hasroy berkata, zaman remajanya banyak dihabiskan dengan merempit sebelum dia bergelar usahawan makanan laut yang menguruskan pusat memproses keropok keping di Pengkalan Star sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, sejak mula mengenali jentera roda dua pada awal usia 16 tahun, dia pernah menjadi pelumba jalanan dan menimbulkan kekacauan kepada orang ramai di beberapa jalan utama yang dijadikan litar perlumbaan haram di negeri ini.

Namun, siapa sangka Tuan Hasroy yang pernah bergelar mat rempit dan pernah tidur di tepi jalan untuk menyaksikan perlumbaan haram berjaya meninggalkan tabiat buruknya dan kini menjadi pengusaha makanan laut.

Hijrahnya dua tahun lalu itu sekali gus membuktikan kepada masyarakat bahawa mat rempit juga boleh dan mampu berubah serta dapat menjadi contoh kepada belia yang masih bergelumang dalam dunia keseronokan tiada kesudahan itu.

Bagi Tuan Hasroy, banyak pengalaman pahit berlaku semasa bergelar mat rempit termasuk mengambil keputusan untuk berhenti sekolah pada usia 16 tahun sehingga membuatkan dia tawar hati untuk terus bergelumang dalam dunia itu.

“Saya juga mengabaikan kasih sayang keluarga kerana lebih mengutamakan rakan yang terlibat dengan aktiviti merempit.

“Malah, saya juga pernah terjebak lumba haram termasuk dikejar polis tetapi bernasib baik tidak ditahan ketika itu, malah ada kalanya tidak balik ke rumah kerana menghabiskan masa dengan mat rempit," katanya kepada Sinar Harian.

Justeru, Tuan Hasroy menasihatkan remaja yang asyik dengan motosikal masing-masing agar berada di landasan betul dan mengelak diri mereka terlibat dengan aktiviti negatif.

“Lebih kurang lima tahun saya terlibat dalam aktiviti negatif ini sebelum mulai sedar dan insaf setelah menyertai banyak kursus serta program anjuran pelbagai agensi termasuk anjuran Pemuda Umno Negeri Terengganu,” katanya. 

Sementara itu, bercerita mengenai perniagaan keropok keping yang diusahakan, anak sulung lapan beradik itu berkata, dia mampu meraih pendapatan melebihi RM3,000 sebulan pada bulan tertentu.

Setelah dua tahun dalam industri itu, dia juga yakin mampu mengembangkan perniagaan pada masa akan datang adanya bantuan adik-beradiknya dan sokongan kedua ibu bapanya yang sanggup mengeluarkan modal permulaan agak besar sebelum ini.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story