Syamsul Yusof Menangis Dendangkan ‘Ya Rabbi’


Syamsul Yusof Menangis Dendangkan ‘Ya Rabbi’
KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah lelaki, Shamsul Yusof menitiskan air matanya sewaktu mendendangkan lagu ciptaannya, Ya Rabbi dalam Konsert Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun yang berlangsung pada malam tahun baru Hijrah iaitu 14 November lalu di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.
Shamsul merupakan pencipta lagu Ya Rabbi yang dimuatkan dalam album solo penyanyi nasyid, Muhammad Hafiz Hamidun, 28,  berjudul Zikir Terapi Diri.
Sebelum ini, Shamsul hanya mengetahui mengenai konsert Hafiz melalui laman media sahaja.
Namun, apabila hatinya tergerak untuk turut sama menjayakan konsert Hafiz, dia sendiri menghubungi Hafiz atas niat murninya itu.
“Sebenarnya saya peminat setia Hafiz Hamidun dalam diam. Jika saya boleh berkongsi bab agama tidak kira dari segi lagu atau filem saya akan dekatkan diri ke arah itu,” kata Shamsul yang dipetik dari laporan Kosmo Online.
Dalam konsert itu, Shamsul turut bergandingan dengan sepupunya di atas pentas iaitu Dr. Anwar Fazal Abu Bakar (Burn & Soul).
Seramai kira-kira 2,600 orang peminat hadir untuk menyaksikan konsert zikir memuji kebesaran Allah S.W.T yang dilakukan oleh Hafiz Hamidun selama 90 minit itu.
Dalam perkembangan lain, Shamsul memberitahu dalam laporan mStar Online yang dirinya ketika ini mahu mendalami ilmu Islam dalam kehidupannya.
Kata Shamsul, dia merasakan dirinya selama ini terlalu cetek mengenai ilmu agama dan sedang dalam usaha untuk memperbaiki diri.
Sejajar dengan Maal Hijrah baru-baru ini, Shamsul berharap itu merupakan langkah awal buat dirinya untuk berhijrah menjadi manusia yang lebih baik.
“Sekarang ini saya mahu mendalami Islam kerana saya merasakan diri ini benar-benar cetek dalam pengetahuan agama.
“Bukan itu sahaja, saya turut berkongsi kepada peminat apa yang telah dipelajari di Facebook dan Twitter.
“Bersempena dengan tahun baru Hijrah ini, tak kiralah daripada segi peribadi dan kerja, saya ingin menjadi insan yang lebih baik dan berguna kepada masyarakat, Insya-Allah,” katanya.
Oleh: SORAYA IMAn

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story