Tiga Anggota Polis Mengaku Tidak Bersalah Rogol Wanita Indonesia



BUTTERWORTH: Tiga anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Jumaat terhadap pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas seorang wanita warga Indonesia di Berek Balai Polis Perai, Jumaat lepas.
Konstabel Remy Anak Dana, 25, Kopral Nik Sin Mat Lazin, 33, dan konstabel Syahiran Romli, 21, didakwa merogol wanita Indonesia berumur 25 tahun itu di Bilik 4, Berek Balai Polis Perai di sini di antara 6.40 pagi hingga 7.30 pagi, 9 November lepas.
Ketiga-tiga mereka juga didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap wanita itu pada tarikh, waktu dan tempat yang sama.
Bagi pertuduhan rogol, mereka dituduh mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan manakala pertuduhan persetubuhan luar tabii mengikut Seksyen 377C kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim berkata pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh atas alasan saksi-saksi dalam kes itu terdiri daripada rakan setugas tertuduh.
Bagaimanapun, katanya sekiranya mahkamah membenarkan jaminan terhadap tertuduh, pihak pendakwaan mencadangkan RM30,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
Hakim Nabisha Ibrahim membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan mereka melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan dan menetapkan 12 Disember ini untuk mendengar keterangan daripada mangsa.
Peguam Parmjit Singh mewakili Nik Sin dan Syahiran manakala Remy diwakili peguam Anthony Samy. Ketiga-tiga tertuduh membayar jaminan itu. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story