Anuar Zain Nafi Konsert Untuk Sambut ‘Valentine’

Anuar Zain Nafi Konsert Untuk Sambut ‘Valentine’

KUALA LUMPUR – Dalam usaha penyanyi lelaki bersuara lantang, Anuar Zain untuk mempersiapkan diri menghadapi konsertnya pada Februari tahun hadapan, timbul cerita mengatakan konsertnya adalah untuk menyambut hari kekasih atau ‘Valentine Day’.
Menerusi laporan portal OhBulan!, Anuar Zain menafikan dakwaan tersebut.
Katanya, tarikh konsert itu iaitu pada 16 Februari dipilih kerana sama dengan bulan hari lahirnya iaitu jatuh pada 15 Februari.
Justeru, bagi Anuar Zain, tidak timbul isu menyambut hari kekasih dalam konsertnya nanti.
“Konsert ini bukan untuk meraikan ‘Hari Valentine’ tetapi saya memilih bulan Februari kerana hari lahir saya jatuh pada bulan tersebut,” kata Anuar Zain.
Bercerita mengenai persiapan konsertnya, Anuar Zain memberitahu dia mahukan kelainan dalam persembahannya pada hari itu nanti.
Konsert yang dijadualkan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil akan menggunakan lampu LED sepenuhnya selain menampilkan dekorasi pentas yang ringkas.
Kata Anuar Zain lagi, dia mahukan setiap ahli muzik yang bermain alat muzik dapat dilihat berkolaborasi bersama dengan dirinya.
“Untuk konsert ini, saya akan gunakan lampu LED sepenuhnya disepanjang konsert. Konsert pada malam tersebut juga saya lebih gemar pentas yang ‘simple,’ dan kalau boleh biar penonton boleh nampak ‘musician’ saya.
“Saya tak nak ‘musician’ duduk tersorok dan kalau boleh biar ada sedikit ‘run away’ supaya senang untuk saya berjalan dan berada lebih dekat dengan peminat,” katanya.
Justeru, Anuar Zain berharap agar semua penonton yang hadir pada hari konsertnya gembira dengan setiap persembahan yang dilakukan dirinya.
“Apa yang paling penting saya mahu eratkan silaturahim antara peminat-peminat saya supaya mereka boleh beramah mesra antara satu sama lain dan dalam masa yang sama mereka gembira dan ‘enjoy’ dengan persembahan saya pada malam itu,” luah Anuar Zain.
Oleh: NAIMAH SHAARI

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story