Hentikan Spekulasi Rusuhan Di Kuala Muda

Hentikan Spekulasi Rusuhan Di Kuala Muda

NOTA: Insiden bermula awal pagi 16 Disember di Flat Paya Nahu, Sungai Petani. Ia berpunca daripada kes nak lumba motor, masing-masing nak tunjuk hebat. Bila tak puas hati panggil kawan-kawan dan tercetuskan kejadian itu. Seramai 13 suspek telah ditahan reman dan lima yang tercedera telah menerima rawatan di hospital di mana empat daripadanya sudah dibenarkan pulang. Berhubung seorang pegawai polis yang dibelasah, pegawai berkenaan sedang bercuti kerana ingin berkahwin, berkunjung ke sebuah kedai. Berdasarkan siasatan, berlaku salah faham antara pegawai tersebut dengan seorang lelaki India yang mencetuskan pergaduhan. Tetapi, ia tiada kaitan dengan isu perkauman dan berlaku secara kebetulan bukannya disebabkan insiden pertama. HARAP MAKLUM
SUNGAI PETANI – Polis Kedah memberi amaran keras supaya khabar angin kononnya berlaku rusuhan di daerah Kuala Muda yang disebarkan menerusi laman sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS), dihentikan serta-merta.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab, berkata kira-kira jam 9 hingga 10 malam tadi, polis menerima banyak panggilan telefon berikutan tersebarnya khabar angin bahawa berlaku rusuhan kaum di daerah Kuala Muda.
“Kita ingin maklumkan kepada semua rakyat Malaysia bahawa berita yang tersiar dalam Facebook, Twitter dan SMS itu tidak betul dan palsu, hakikatnya keadaan di Kuala Muda adalah aman dan tenteram. Tiada kematian atau kecederaan serius yang berlaku.
“Sehingga sekarang (sidang media) hanya ada beberapa insiden saja yang berlaku, bermula daripada insiden (pergaduhan) pada awal pagi, Ahad lalu yang mana hasil siasatan dan risikan yang kita kumpul mendapati insiden itu tiada kaitan dengan permusuhan atau kebencian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini lewat malam tadi.
Abdul Ghafar berkata, kes yang berlaku pada awal pagi Ahad lalu itu adalah kes terpencil yang membabitkan kumpulan pemuda yang berlarutan kepada beberapa insiden lain yang dilakukan dengan tujuan membalas dendam terhadap insiden pertama.
“Ia kes isolated, berdasarkan siasatan ia berpunca daripada kegiatan lumba motor tetapi berlaku pergaduhan yang mana kedua-duanya memanggil kawan masing-masing dan berlaku empat lagi insiden lain.
“Kes ini bukan berpunca daripada kebencian, ia tindakan yang dibuat oleh mereka yang kurang bijak. Bagaimanapun polis berjaya mengawal keadaan sehinggalah tersebarnya berita palsu yang boleh mencetuskan kemarahan,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Ghafar turut meminta semua ketua kaum supaya dapat memberi penerangan yang jelas berhubung perkara itu kepada masyarakat di kawasan masing-masing.
“Tidak ada rusuhan berlaku, jadi saya minta ahli masyarakat supaya jangan bertindak balas, jangan sebarkan berita palsu dan jangan menghasut sehingga terjadi pergaduhan yang lebih besar. Kepada semua kaum maklumkan kepada anak buah masing-masing supaya jangan bertindak di luar batasan undang-undang.
“Mereka yang melakukan kesalahan pada insiden pertama sudah ditangkap dan akan disiasat berdasarkan kes yang berlaku,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story