Lebih 400 Penderma Darah Diperlukan Setiap Hari

Lebih 400 Penderma Darah Diperlukan Setiap Hari

KUALA LUMPUR – Pusat Darah Negara memerlukan antara 400 hingga 450 penderma darah setiap hari bagi menampung keperluan darah di Lembah Klang.
Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Roshida Hassan berkata, ini bagi memenuhi permintaan hospital kerajaan dan swasta yang memerlukan kira-kira 3,000 unit (1 unit sekitar 0.5 liter) darah merah seminggu.
“Semua jenis darah iaitu A, B, O dan AB diperlukan kerana pesakit terdiri daripada pelbagai golongan dan berbeza kumpulan darah,” katanya di sini, hari ini.
Dr Roshida berkata, setiap pendermaan boleh membantu menyelamatkan tiga nyawa, dan setiap darah mempunyai jangka hayat terhad iaitu darah merah sehingga 42 hari, platelet (lima hari) manakala plasma yang dibekukan boleh bertahan selama dua hingga tiga tahun.
Mengenai kesedaran masyarakat untuk menderma darah, beliau berkata sungguhpun kesedaran itu semakin meningkat, namun selari dengan perkembangan pesat dalam rawatan perubatan, permintaan untuk darah juga turut meningkat.
Dr Roshida berkata, pusat itu kini mengambil langkah proaktif bagi menggalakkan orang ramai menderma darah kerana dijangkakan akan berlaku kekurangan dalam trend pendermaan sepanjang musim perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.
“Pada musim perayaan, orang ramai mengambil kesempatan bercuti lebih lama untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan walaupun keinginan untuk menderma darah itu ada, biasanya hasrat itu ditangguhkan sehingga mereka kembali daripada bercuti,” katanya.
Mereka yang ingin menderma pada pada Hari Krismas boleh berbuat demikian di Pusat Derma Darah, Jalan Tun Razak dari jam 8 pagi hingga 4 petang atau melayari laman web www.pdn.gov.my bagi mendapatkan maklumat mengenai jadual kempen derma darah bergerak. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story