Penagih Ditahan Ketika Susukan Bayi

Ditahan Ketika Susukan Bayi

DUNGUN – Biarpun pernah menjalani kehidupan di penjara atas kesalahan dilakukan, namun ia belum cukup untuk memberi pengajaran bermakna buat seorang ibu muda apabila dia masih gagal pulang ke pangkal jalan.
Akibat terpengaruh dengan rakan sebaya, wanita yang baru mencecah usia 20 tahun ini kembali terjebak menjadi hamba dadah.
Berikutan tabiat buruknya itu, dia menerima natijah apabila ditangkap polis ketika berada di sebuah rumah dekat sini bersama dua lagi lelaki, dipercayai ‘rakan sekutunya’ yang turut berkongsi hobi sama.
Pemeriksaan polis yang menemui sejumlah dadah jenis methampethamine, dipercayai dalam kawalan tiga sahabat ini menguatkan dakwaan mereka kembali terbabit dengan penyalahgunaan dadah, biarpun masing-masing difahamkan pernah menjalani hukuman penjara atas kesalahan dilakukan.
Ketika ditahan, wanita terbabit difahamkan sedang menyusukan bayinya yang baru berusia beberapa bulan dan hasil ujian saringan awal air kencing, dia disyaki positif dadah jenis methampethamine.
Difahamkan, bayi terbabit yang sedang disusukannya dilahirkan ketika dia ditahan di penjara.
“Saya tidak tahu hendak buat macam mana lagi.
“Saya sedar perbuatan ini (ambil dadah) akan memberi kesan kepada anak saya, tetapi saya tidak boleh tinggalkan tabiat ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan penahanan wanita dan dua lagi rakannya.
Suspek wanita, ibu muda yang difahamkan baru keluar penjara itu kini disiasat mengikut seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selain terbabit kes dadah, wanita yang berasal dari Paka itu juga disiasat polis kerana disyaki terbabit dengan kes jenayah yang dilakukan rakannya. – Sinar Harian Online

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story