Sekolah Permata Insan Bakal Ditubuh 2 Tahun Lagi

Sekolah Permata Insan Bakal Ditubuh Dua Tahun Lagi

KUALA LUMPUR – Sebuah Sekolah Permata Insan bertujuan melahirkan ilmuan dan pemikir Islam yang agung di bawah program Permata Negara, bakal ditubuhkan dengan pengambilan pelajar pertama pada 2015.
Penaung Program Permata Negara (Permata) Datin Seri Rosmah Mansor berkata sekolah itu akan menawarkan persekitaran pembelajaran dan pengajaran yang kondusif secara berterusan kepada pelajar bermula dari usia 8 tahun, yang berteraskan kepada penghayatan al-Quran dan as-Sunnah.
Isteri perdana menteri itu berkata penubuhan sekolah itu merupakan lanjutan daripada program Permata Insan yang diperkenalkan pada 2010.
Usaha pihaknya mewujudkan program Permata Insan itu adalah untuk mengembalikan zaman kecemerlangan ilmu di kalangan umat Islam, katanya dalam program bual bicara ‘Hello Malaysia’ Bernama TV yang dihoskan Zulkifli Bujang dan disiar secara langsung di Saluran 502 Astro di sini, Selasa malam.
Rosmah berkata program Permata Insan itu bukan sahaja bertujuan melahirkan kanak-kanak yang memahami, mentafsir, menghafaz dan mengaplikasi al-Quran dan al-Sunnah di peringkat yang tinggi, tetapi juga mengamalkan ilmu itu dalam kehidupan harian serta menghubung kaitkannya dengan sains, teknologi dan matematik.
“Peringkat umur itu (8 tahun) amat bersesuaian untuk dibimbing dan diasuh kerana pada peringkat ini kanak-kanak sudah bersedia dan mempunyai rangsangan minda yang lebih memberi kesan dalam proses pembangunan dan perkembangan diri,” katanya.
Rosmah juga menyifatkan setiap pelajar Permata Insan sangat istimewa kerana mempunyai guru pembimbing yang akan membimbing mereka sepanjang sesi persekolahan berlangsung.
“Ini bermakna, apabila tamat Kem Permata Insan, para pelajar tidak dibiarkan begitu sahaja malah kami menyediakan sistem pengajaran secara intensif dan berterusan sama ada secara pertemuan atau secara online,” katanya.
Beliau berkata bagi memantapkan Kurikulum Permata Insan dan memstikan ia setaraf dengan kurikulum antarabangsa, Permata Insan telah menandatangani Perjanjian Persefahaman dengan ‘King Abdul Aziz and His Companions Foundation for Giftedness and Creativity Mawhiba, Kingdom of Saudi Arabia’ pada 10 Feb 2011.
“Melalui koloborasi ini, para pelajar akan didedahkan dengan pengalaman pembelajaran di luar negara terutama untuk memantapkan penguasaan bahasa-bahasa utama dunia,” katanya.
Rosmah berkata sejak program Permata Insan diadakan dua tahun lepas, sehingga sekarang seramai 127 kanak-kanak telah terpilih menyertai program itu. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story