ATM Julang Piala Sultan Ahmad Shah

ATM Julang Piala Sultan Ahmad Shah

SHAH ALAM – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memulakan musim 2013 dengan langkah kanan selepas mengatasi juara trebel musim lepas, Kelantan 5-4 menerusi sepakan penalti pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Shah Alam, di sini, Sabtu malam.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada sepenuh masa sebelum sepakan penalti diambil untuk menentukan juara piala tersebut.
ATM, yang dibimbing oleh bekas pengendali pasukan Kelantan, B. Sathianathan bagaimanapun melakukan serangan bagi mencari gol awal namun dikecewakan oleh ketumpulan jentera hadapan.
Skuad ‘The Red Warriors’ bagaimanapun membuat serangan balas menerusi dua percubaan daripada pemain tengah Mohd Norfarhan Muhammad dan penyerang import, Keita Mandjou masing-masing pada minit ke-15 dan 40 namun gagal menemui sasaran.
Bersambung separuh masa kedua, skuad ‘The Red Warriors’ mengubah strategi permainan dengan melancarkan serangan bertali arus ke pasukan ‘The Galdiators’.
Hasilnya, mereka berada di depan pada minit ke-55 selepas pemain tengah, Indra Putra Mahayuddin melakukan sepakan cantik untuk menewaskan penjaga gol ATM, Mohd Farizal Harun.
Kelantan hampir menggandakan jaringan pada minit ke-71 menerusi percubaan kapten pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi namun sepakannya hanya sedikit melepasi pintu gol pasukan ATM.
Pertahanan tengah ATM, Irwan Fadzly Idrus bagaimanapun menyamakan kedudukan untuk skuad ‘The Gladiators’ pada minit ke-85 selepas beliau melakukan sepakan percuma yang cantik untuk menewaskan penjaga gol Kelantan, Mohd Syazwan Yusof.
Keputusan tersebut menyaksikan permainan terpaksa dilanjutkan ke penentuan sepakan penalti sebelum ATM mengesahkan trofi pertama mereka musim ini.
Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menyampaikan Piala Sultan Ahmad Shah kepada kapten pasukan ATM, Hairuddin Omar. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story