Exco: Syabas Gagal Tangani Krisis Air

Krisis Air

SHAH ALAM – Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) didakwa cuai dalam penyelenggaraan rumah pam Wangsa Maju yang dianggap penyebab gangguan bekalan air sekitar Kuala Lumpur, Gombak dan Ampang.
Pengerusi Jawatan Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, hasil siasatan Kerajaan Negeri mendapati kesemua lima pam termasuk dua pam dalam simpanan (standby pump) turut rosak.
Menurutnya, keraguan timbul apabila dua pam yang jarang digunakan turut rosak menunjukkan bahawa syarikat konsesi air itu gagal menyelenggarakannya dengan baik.
“Bagaimana dua standby pump yang tidak selalu digunakan boleh rosak? Ini jelas menunjukkan kecuaian Syabas dalam penyelenggaraan berkala peralatan di bawah kendaliannya.
“Kecuaian itu mengakibatkan 60,000 penduduk terpaksa berhadapan krisis air,” katanya ketika diminta mengulas mengenai krisis air yang melanda Lembah Klang sejak seminggu lalu.
Sinar Harian semalam menyiarkan laporan mengenai lebih 100,000 akuan pengguna di Kuala Lumpur, Gombak dan Ampang berhadapan masalah gangguan bekalan air dan situasi buruk itu dijangka berterusan seminggu lagi.
Dr Xavier berkata lagi, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (Luas) tiada masalah mengambil alih tugas penyelenggaraan rumah pam tersebut sekiranya Syabas gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
“Kita anggap kelalaian Syabas adalah ‘pure negligence and criminal in nature’ dan tindakan sabotaj bagi memburukkan imej Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata, Syabas tidak sepatutnya ‘mereka cipta’ taktik sengaja untuk mewujudkan krisis air di Selangor.
“Ini adalah antara sebab mengapa Kerajaan Negeri mahu menyegerakan proses pengambilan semula industri air dari kerana Syabas tidak mampu membekalkan air kepada rakyat.
“Syabas berpaksi semata-mata atas keuntungan dengan menaikkan tarif air dari semasa ke semasa tanpa mengambil peduli kepentingan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin mendakwa kegagalan Syabas mengatasi gangguan bekalan air di Lembah Kelang adalah satu kesilapan besar sebagai operator air.
Beliau berkata, apa yang berlaku pada hari ini membuktikan Syabas gagal menyelenggara, menaik taraf, melakukan pemantauan dan pengurusan lemah dalam memastikan pengguna menerima bekalan air.
Menurut Zuraida, alasan yang diberi syarikat konsesi air itu setiap kali gangguan bekalan air seperti pam rumah rosak dan masalah teknikal adalah tidak masuk akal dan membuktikan Syabas tidak berupaya melaksanakan amanah dengan berkesan.
“Lebih mengecewakan, alasan Syabas yang memerlukan tempoh seminggu untuk memulihkan gangguan bekalan air di Lembah Kelang sedangkan memperoleh keuntungan berbilion langsung tidak boleh diterima.
“Sebagai negara maju seperti Malaysia, alasan ini sememangnya tidak boleh diterima akal,” katanya semasa membuat lawatan ke Loji Pembersihan Air di Wangsa Maju, semalam.
Mengulas ketiadaan air di Ampang, Zuraida berkata, Syabas turut gagal menyediakan ‘back-up’ bekalan air yang mencukupi kepada penduduk yang terjejas teruk sepanjang tempoh krisis itu.
Katanya, Syabas sepatutnya mempunyai pelan kecemasan untuk mengatasi masalah ini selain segera menyalurkan air kepada penduduk seperti kawasan yang didiami orang susah.
Dalam lawatan tersebut, Zuraida bagaimanapun tidak dibenarkan memasuki ke dalam loji tersebut dan telah difahamkan oleh wakil kakitangan loji tersebut empat pam air sudah mula berfungsi. – Sinar Harian Online

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story