HANGAT! - Guru Saman Mais, 3 Pihak Lain RM1j

Guru Saman Mais

SHAH ALAM — Seorang guru wanita semalam memfailkan saman RM1 juta terhadap empat pihak termasuk Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berhubung penyebaran laporan mendakwa plaintif seorang pengikut kumpulan ajaran sesat di Sepang dua tahun lepas.
Shahriah Omar, 47, yang mengajar di Sepang, memfailkan writ saman itu menerusi Tetuan Kesavan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.
Beliau menamakan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (R&D) Pejabat Agama Islam Daerah Sepang, Ariff Alfian Norazman sebagai defendan pertama; Pendaftar Kanan Pejabat Agama Islam Daerah Sepang, Abd Halim Mt Esa (defendan kedua); Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Marzuki Hussin (defendan ketiga) dan Mais defendan keempat.
Menerusi pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa surat bertarikh 16 Mei 2011 mengenai “Pengesahan Siasatan Kes Ajaran Sesat” dan Laporan Mengenai Aduan Ajaran Yang Bertentangan Dengan Ajaran Islam bertarikh 26 Mei 2011 disebarkan kepada beberapa pihak termasuk ke sekolah plaintif.
Malah plaintif mendakwa kedua-dua dokumen itu juga diperoleh bekas suaminya dan digunakan sebagai eksibit dalam afidavit yang diikrarkan bekas suaminya dalam permohonan mendapatkan hak penjagaan anak.
Surat bertarikh 16 Mei itu didakwa dikeluarkan defendan kedua dan laporan bertarikh 26 Mei itu dikeluarkan defendan pertama dan kedua.
Defendan didakwa menggambarkan plaintif sebagai pengikut ajaran sesat, rosak akidah, melanggar ajaran Islam dan tidak layak memegang jawatan guru.
Plaintif mendakwa beliau diputuskan defendan sebagai pengikut ajaran sesat tanpa kenyataannya diambil, siasatan masih belum disempurnakan dan plaintif masih belum didakwa di mahkamah atau didapati bersalah.
Sehubungan itu, plaintif memohon tuntutan ganti rugi RM1 juta, ganti rugi teruk dan teladan serta faedah lima peratus, kos dan sebarang relif yang difikirkan sesuai mahkamah. — BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story