Kena Ada ‘Luck’ Dalam Industri – Nadiya Nisaa

Kena Ada ‘Luck’ Dalam Industri – Nadiya Nisaa

KUALA LUMPUR – Pelakon wanita, Nadiya Nisaa yang mencetuskan fenomena dalam drama Adam & Hawa memberitahu seseorang artis itu perlu mempunyai tuah atau ‘luck’ sekiranya betul-betul ingin kekal dalam industri seni Malaysia.
Bagi Nadiya, tuah itu mampu untuk mengangkat nama seseorang artis itu menjadi terkenal dan seterusnya dihargai dalam dunia lakonan tempatan.
Keadaan itu terjadi pada Nadiya apabila usahanya membawa watak Ain Hawani dalam drama itu memberikan tuah kepada dirinya dan nama ibu kepada seorang anak lelaki itu juga semakin terkenal.
Malah, Nadiya menghargai tuah yang diberikan oleh pengarah Adam & Hawa, Osman Ali kerana diberi kepercayaan untuk menggalas watak utama novel tulisan Aisya Sofea.
“Saya percaya kena ada ‘luck’ dalam dalam industri ni, ramai yang berbakat tapi tidak berpeluang dan tidak diberi peluang. Saya pula bertuah kerana telah diberi peluang oleh pengarah Osman Ali yang telah memberi kepercayaan untuk saya berlakon dalam karya-karyanya.
“Tuah saya kerana telah ditawarkan membawa watak utama di dalam drama bersiri Adam dan Hawa. Saya sendiri pun tak sangka drama itu telah mengangkat nama saya sehingga dikenali seperti sekarang,” kata Nadiya yang dipetik dari portal Murai.com.
Nadiya sudah memulakan perjalanan seni lakonannya sejak beberapa tahun yang lalu.
Namun, nama dan wajahnya kurang menyerlah dalam industri lakonan berbanding artis-artis wanita yang lain.
Nadiya biasanya hanya membintangi drama-drama tempatan dengan membawakan watak-watak sampingan sahaja.
Tetapi, dia tidak menyangka dan terkejut percubaannya membawa watak utama dalam Adam & Hawa mencetuskan fenomena luar biasa.
“Agak bangga juga dalam pada orang duk ‘gilakan’ drama Korea, masih ada yang masih menghargai karya tempatan! Adam dan Hawa sebenarnya bagi saingan kepada drama Korea. Terima kasih kepada yang menyokong karya kita.
“Sungguh saya tak sangka Adam dan Hawa cetus fenomena luar biasa sehingga mencatat rating tertinggi. Ada peminat dari Singapura dan Brunei beritahu yang mereka sanggup tunggu untuk menonton Adam dan Hawa secara online. Pengorbanan daripada semua fans saya hargai. Syukur Alhamdulillah,” katanya.
Oleh: NAIMAH SHAARI

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story