Umat Islam Mesti Berani & Tegas Pertahan Islam

Umat Islam Mesti Berani & Tegas Pertahan Islam - Abu Zahar

KUALA LUMPUR – Umat Islam negara ini mesti berani, tegas dan kuat dalam mendepani cabaran pihak-pihak yang sentiasa berusaha mengganggu-gugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini.
Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata ancaman dan cubaan melemahkan agama Islam di Malaysia tidak pernah berhenti sejak dahulu termasuk cubaan menafikan Islam sebagai agama persekutuan oleh pihak-pihak berkepentingan sejak-sejak akhir ini.
“Sejak akhir-akhir ini terdapat kalangan masyarakat Malaysia menafikan kedudukan Islam yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
“Mereka menganggap agama Islam sekadar agama rasmi dan kedudukannya lebih rendah daripada perlembagaaan. Fahaman ini telah menular dan jika tidak diperbetulkan akan menjadi satu masalah besar bagi negara kita,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Mendaulatkan Islam Agama Negara (SEMAIAN) di Pusat Islam di sini, Sabtu.
Kira-kira 1,200 peserta menghadiri seminar sehari yang dianjurkan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di sini.
Abu Zahar berkata masyarakat Islam negara ini juga perlu dan mesti sedar bahawa ancaman terhadap Islam datang dalam pelbagai bentuk, termasuk yang terkini desakan penggunaan kalimah Allah di dalam Bible versi Melayu yang dibangkitkan semula merupakan cubaan ketara melemahkan agama Islam negara ini.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam perutusan Krismas di laman blognya baru-baru ini mendesak kerajaaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional (BN) agar membenarkan penggunaan kalimah Allah di dalam Bible versi bahasa Melayu.
Abu Zahar berkata terdapat banyak lagi ancaman lain seperti penubuhan badan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang mempunyai kuasa undang-undang untuk mengubah ajaran sesetengah agama, tuntutan kesamarataan beragama, mempersoal pihak berkuasa agama seperti Majlis Fatwa, mendesak Kerajaan Persekutuan dan negeri memansuhkan undang-undang jenayah syariah seperti yang berlaku dalam kes seorang wanita Islam dihukum rotan kerana kesalahan minum arak serta mempersoal pembahagian wang pungutan zakat.
“Musuh-musuh Islam ini tidak akan berhenti malahan akan bertindak pantas menghadapi apa jua halangan dengan penuh tersusun dan berstrategi sifatnya.
“Mereka amat bersedia daripada segi tenaga, pembiayaan malah menggunakan undang-undang sebagai senjata untuk menjayakan misi mereka,” tegasnya. Justeru, kata beliau sudah tiba masanya umat Islam Malaysia bangkit bersatu hati dan berpadu kudrat untuk terus memelihara kesucian agama Islam di negara ini.
Abu Zahar menytifatkan program SEMAIAN ini satu landasan tepat untuk mengingatkan semula masyarakat Islam khususnya terhadap tanggungjawab menegakkan syiar Islam dan memberi penerangan mengenai kedudukan Islam kepada masyarakat bukan Islam di negara ini.
Sementara itu, Presiden Muafakat Ismail Mina Ahmad dalam ucapan aluannya berkata penganjuran SEMAIAN adalah satu inisiatif untuk mengekang provokasi berterusan oleh golongan berkepentingan politik untuk memanipulasi agama Islam di negara ini.
“Dua golongan politik yang bercita-cita besar ini ialah golongan yang berada di luar lingkungan Islam dan golongan yang berada di dalam Islam tetapi bersengkongkol dengan golongan di luar Islam untuk memperjuang menjatuhkan Islam,” katanya.
Beliau berharap program SEMAIAN dapat membantu memperbetul persepsi berniat jahat yang dibawa golongan anarkis politik yang memperjuang fahaman liberalisme dan pluralisme agama.
Tegasnya mesej untuk terus memelihara kesucian islam dan kedudukannya dalam perlembagaan perlu disampaikan dengan berkesan bagi mengelak memberi ruang golongan tidak bertanggungjawab ini terus mengeksploitasi kelemahan masyarakat Islam.- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story