Zed Zaidi Terima Pangkat Leftenan Kolonel!

Zed Zaidi


Beberapa hari lalu, Mynewshub ada melaporkan mengenai Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi bakal menerima pangkat daripada Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Tetapi masing-masing termasuk Zed sendiri tidak tahu apakah pangkat yang bakal diterimanya.
Hari ini segalanya terjawab apabila presiden dan juga pelakon itu ditauliahkan pangkat Leftenan Kolonel (Kehormat), semalam.
Memetik laporan Mstar, Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 33, berkata, dia berbesar hati apabila perjuangan secara sukarela dalam mempertahankan hak anak seni tempatan sejak tahun lalu mendapat pengiktirafan kerajaan.
“Saya tidak pernah harap anugerah seni tetapi anugerah daripada kerajaan atau negara seperti ini cukup besar nilainya.
“Kalau dapat anugerah seni pun nilainya tidak setinggi ini,” katanya pada majlis yang diadakan bersempena ulang tahun Rela KL ke-41 itu, di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jalan Duta, di sini.
Selain Zed, majlis itu turut memberi pengiktirafan kepada ahli politik, korporat dan individu-individu berpengaruh atas sumbangan dan tanggungjawab sosial mereka.
Pemakaian pangkat dan watikah pelantikan itu dilakukan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Mengenai pemilihan sebagai satu-satunya anak seni yang menerima pelantikan itu, Zed berkata, ia adalah pemangkin semangat untuk dia terus memperjuangkan hak anak seni secara sukarela pada masa akan datang.
“Alhamdulillah, tanggungjawab sosial saya dalam memperjuangkan hak anak seni dan menentang kemasukan artis luar secara tidak sah mendapat perhatian.
“Tanggungjawab sebagai Presiden Seniman bukan mendapat gaji tetapi ia adalah sumbangan secara sukarela kepada bidang seni.
“Selepas ini, saya akan berjuang habis-habisan terutama dalam memantau kemasukan artis luar agar mereka mengikut saluran yang betul,” katanya.
Oleh: NURUL NAFISAH MAZLAN

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story