RASMI: Dua Anggota Komando Terkorban, Tiga Cedera Dan 12 Penceroboh Ditembak Mati

BEQ6VH6CUAACqF8

TUNGKU(Lahad Datu) - Dua anggota komando Polis Diraja Malaysia terkorban manakala 12 penceroboh bersenjata dari selatan Filipina maut dalam insiden tembakan membabitkan kedua-dua pihak di Kampung Tanduo di sini hari ini.
Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu turut menyebabkan tiga lagi anggota pasukan keselamatan cedera, kata polis.
Kesemua 12 penceroboh rakyat asing yang terbunuh itu adalah antara 180 pengikut ‘Sultan Sulu’ yang dikepung pasukan keselamatan di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo.
Mereka cuba keluar daripada kepungan pasukan keselamatan dan mula melepaskan tembakan apabila terserempak dengan anggota keselamatan yang sedang berkawal, kata Pasuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.
Bercakap pada sidang akhbar di sini, beliau berkata insiden tembakan antara pasukan keselamatan dan kumpulan penceroboh itu berlanjutan selama 20 minit.
Menceritakan semula kejadian itu, Hamza berkata kumpulan penceroboh rakyat asing yang terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan Malaysia.
“Pihak komando polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri dan berlaku pertempuran antara kedua pihak,” kata Hamza.
Hamza berkata, turut ditemui pada kumpulan kecil penceroboh itu ialah beberapa laras senjata api antaranya M16, pistol dan rifel SLR, peluru dan beg-beg pakaian.
Beliau berkata, polis kini mengepung Kampung Tanduo, yang masih diduduki sebahagian anggota kumpulan itu, dan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan semakin diperketatkan.
“Polis telah mengawal segala laluan dan sukar untuk pihak penceroboh untuk keluar atau masuk ke kawasan kampung berkenaan,” katanya.
Nafi laporan penceroboh serah diri
Hamza turut menafikan laporan termasuk yang disiar laman sosial dan agensi berita asing bahawa terdapat anggota kumpulan penceroboh itu menyerah diri dan melarikan diri melalui jalan laut.
Dalam pada itu, Hamza turut menegaskan bahawa polis tidak mengeluarkan sebarang arahan perintah berkurung di Lahad Datu ekoran insiden itu.
“Saya diberi kuasa untuk melaksanakan perintah itu dan tiada sebarang perintah itu dikeluarkan seperti yang dilaporkan,” katanya sambil memberitahu bahawa keadaan di Kampung Tanduo kini terkawal dan tenang.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata beliau telah memberi mandat kepada ketua polis negara dan panglima angkatan tentera untuk mengambil sebarang tindakan terhadap kumpulan penceroboh bersenjata itu dan tiada kompromi lagi.
Najib juga dilaporkan berkata kumpulan penceroboh itu sepatutnya menerima tawaran menyerah diri dan keluar daripada kawasan itu secepat mungkin.
Sementara itu, mayat kedua anggota polis yang terkorban itu dibawa ke Hospital Lahad Datu. Dua anggota polis yang cedera pula diterbangkan ke hospital yang sama untuk dirawat manakala seorang lagi diterbangkan ke sebuah hospital di Sandakan.
Pasukan keselamatan mula mengepung Kampung Tanduo pada 11 Februari apabila kira-kira 150 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata menaiki bot pancung menceroboh ke kawasan itu pada 9 Februari dan menjadikan beberapa premis termasuk rumah dan surau di kampung berkenaan sebagai pangkalan mereka.
Kampung Tanduo yang diduduki kumpulan itu terletak di kawasan terpencil, kira-kira 130 kilometer dari Lahad Datu.
Kumpulan itu yang didakwa diketuai Agbimuddin Kiram mendakwa mereka adalah tentera ‘Raja Sulu’ dan menuntut Malaysia mengiktiraf Sabah sebagai milik Kesultanan Sulu.
Sejak itu, Malaysia mengadakan beberapa siri rundingan dan menetapkan 22 Februari lepas sebagai tarikh akhir untuk pengusiran mereka.
Bagaimanapun Malaysia melanjutkan lagi tempoh pengusiran mereka kepada 26 Februari sementara menunggu sebuah kapal tentera Filipina tiba untuk membawa kumpulan penceroboh itu pulang ke tanah air mereka.
Isnin lepas, Hamza berkata, polis akan bertindak berlandaskan undang-undang negara selepas mengambil kira pelbagai faktor bagi merungkai isu pencerobohan rakyat Filipina itu.
Hamza menegaskan pihaknya akan menggunakan undang-undang negara untuk mendakwa mereka yang kini dalam kepungan pihak keselamatan bagi memastikan tiada yang terlepas keluar dan tiada orang yang tidak berkenaan memasuki kawasan itu.


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story