Chef Anis Nabilah Disamun Di Bukit Bintang

Chef Anis

Pengacara program masakan ‘Resepi Turun Temurun’ di TV9, Chef Anis Nabilah Umaruddin mengalami kerugian sebanyak kira-kira RM1500 apabila tas tangan miliknya ditoreh penyamun, pada awal pagi Selasa. Dalam kejadian di Bukit Bintang itu, Anis sedang berjalan dari pusat membeli-belah, Fahrenheit 88 menuju ke Lot 10 bersama tiga adik-beradik perempuannya yang lain.
“Kejadian berlaku sekitar jam 11.00 pagi di mana Anis hanya sedar beg duit Anis hilang ketika nak bayar tiket parkir kereta. Mula-mula Anis ingat beg Anis tercicir, tapi bila tengok tas tangan Anis ada kesan torehan, Anis tahu yang Anis dah disamun,” ujar Anis ketika ditemui pada sidang akhbar Seindah Ramadhan TV9 di Restoran Marche Movenpick, The Curve, pagi Rabu.
Bercerita lebih lanjut mengenai insiden tersebut, Anis memberitahu yang dia sentiasa peka dengan kejadian ragut yang kerap berlaku sekarang dan selalu mengambil langkah berjaga-jaga apabila berada di tempat awam. Namun, Anis menganggap penyamun sekarang sangat bijak kerana menjalankan taktik menyamun yang berbeza sehingga dia sendiri tidak sedar bila dompetnya diambil.
“Kejadian ragut sentiasa berlaku jadi Anis memang selalu berhati-hati. Tapi tak sangka dalam berhati-hati, benda ini akan jadi juga pada diri Anis. Bayangkan, sewaktu kejadian, Anis memegang erat tas tangan sebab takut kena ragut, namun tidak sedar bila ia ditoreh. Bila dapat tahu, rasa nak pengsan sebab Anis baru balik dari luar negara dan dalam itu ada banyak duit matawang asing dalam beg duit Anis.
Anis syak mereka masukkan tangan dalam beg dan ambil beg duit Anis. Sejujurnya, Anis memang tak sangka perkara ini boleh berlaku sebab sewaktu kejadian, tiga adik-beradik Anis ada bersama Anis dan mereka pun tak sedar bila ia berlaku,” ujar Anis yang sudah membuat laporan polis di Balai Polis Subang Jaya.
“Ini kali pertama Anis dengar serta tahu yang penyamun sekarang guna taktik potong dan toreh beg. Anis rasa penyamun sekarang semakin bijak. Mereka menggunakan taktik yang lebih cekap sehingga orang tak sedar langsung perbuatan mereka. Anis sangat positif yang mereka dah buat benda ini banyak kali. Mereka dah sasar mangsa dan tahu apa yang mereka buat,” jelas Anis sambil memberitahu fobia dengan kejadian yang berlaku.
“Sekarang Anis fobia dan nak pergi pam minyak pun Anis paranoid. Anis juga ralat kerana situ kawasan ramai pelancong dan bila banyak kes macam ini, orang akan cakap Malaysia negara yang sudah tidak selamat untuk dikunjungi. Apapun, Anis percaya polis kita sangat cekap dan efisyen dalam menjalankan tugas dan Anis harap orang di luar sana lebih berhati-hati lagi selepas ini.” – gua.com.my

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story