Perdana Menteri Malaysia Umum Jawatankuasa Khas Ekonomi Dibentuk.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR – Sebuah jawatankuasa khas ekonomi akan dibentuk bagi memastikan Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhan ekonominya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Objektif jawatankuasa ini adalah untuk memastikan Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhan yang sudah kita bangunkan sejak 2008, menjana kemakmuran dan kualiti hidup yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.
“Butiran (pembentukan jawatankuasa) ini akan diumumkan dalam tempoh terdekat,” kata Perdana Menteri semasa melancarkan Persidangan Percukaian Kebangsaan (NTC) 2015, di sini pada Selasa.
Najib berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam tempoh beberapa tahun sebelum ini sangat kukuh, dan kerajaan akan terus memastikan rekod baik itu sentiasa dikekalkan.
Namun berikutan ketidaktentuan dan cabaran semasa, Najib berkata beliau menyedari sepenuhnya kedudukan ekonomi domestik, selain perkembangan dan sentimen kewangan dan ekonomi dunia.
“Gabenor bank pusat kita dan pengerusi Suruhanjaya Sekuriti malah sudah memberikan taklimat kepada saya baru-baru ini,” tegas beliau lagi.
Perdana Menteri berkata, beliau juga sentiasa diberikan maklumat terkini oleh wakil daripada sektor ekonomi bagi mendapatkan gambaran jelas keadaan ekonomi semasa negara kita.
“Minggu lepas, saya bertemu ketua-ketua ekonomi dan penganalisis institusi kewangan tempatan dan asing, dan semalam, pemimpin perniagaan dan korporat.
“Pertemuan-pertemuan ini akan diteruskan dalam beberapa minggu akan datang,” katanya.
NTC 2015 yang berlangsung selama dua hari itu dianjurkan bersama oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Institut Percukaian Berkanun Malaysia.
Najib berkata LHDN telah menetapkan rekod baharu dari segi kutipan cukai dalam tempoh empat tahun yang lepas. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story