Legoland Dubai Ada Bangunan Lego Tertinggi Di Dunia

Legoland Dubai Ada Bangunan Lego Tertinggi Di Dunia

DUBAI – Akhir bulan ini, pengunjung taman tema Legoland Dubai dapat menyaksikan bangunan Lego tertinggi di dunia yang kebetulan replika bangunan tertinggi di dunia iaitu Burj Khalifa.

Akhbar berpengaruh Emiriah Arab Bersatu, Khaleej Times melaporkan, Lego tersebut mencecah ketinggian 17 meter dengan menggunakan 439,000 blok yang diperbuat dalam masa 5,000 jam dan beratnya pula mencapai satu tan.
Perasmian Lego tertinggi di dunia itu dilakukan oleh anak emir, Mohammed bin Ahmed Jaber Al Harbi berusia lima tahun yang bapanya pula merupakan sahabat karib kepada Putera Dubai, Hamdan bin Mohammed Al Maktoum.
“Menjadi kebanggaan bagi kami untuk menyambut Mohammed dan membantu kami merayakan sejarah penting ini,” kata Pengurus Besar Legoland Dubai, Siegfried Boerst dalam kenyataan media kepada agensi Dubai Tourism.

lego1
Legoland Dubai merupakan sebahagian Dubai Parks and Resorts, taman tema terbesar bagi rantau Timur Tengah yang bakal dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 31 Oktober ini, menurut laporan Emirates News Agency.
Destinasi tarikan unik hiburan keluarga baharu di Jebel Ali tersebut malahan akan terdiri daripada tiga taman tema yang berbeza – Bollywood Parks Dubai, MotionGate Dubai serta Legoland Dubai dan Legoland Water Park.
Dalam pada itu, replika Burj Khalifa bakal ditempatkan di Miniland, yang turut mengandungi banyak mercu tanda utama terkenal seluruh dunia dan disertai dengan persembahan cahaya LED selain pertunjukan air pancut khas.
“Burj Khalifa, sekarang diiktiraf secara rasmi menjadi model bangunan Lego yang tertinggi di dunia, malah ia juga merupakan satu tarikan luar biasa di Miniland dan Legoland Dubai apabila dibuka kelak,” tambah Siegfried.

lego2

Pada 2015, Lego Italia di Milan, Itali pernah membina sebuah struktur setinggi 35 meter dengan 550,000 blok Lego, namun ia bukan replika kepada mana-mana bangunan ikonik dan dibuat hanya untuk tempoh sementara waktu.
Legoland Dubai dalam pada itu boleh dimasuki keluarga dan kanak-kanak berusia dua tahun ke atas. Taman tema ini memiliki 40 jenis permainan dan pertunjukan serta 15,000 model yang diperbuat daripada 60 juta blok Lego.
Ia merangkumi enam kawasan iaitu LEGO CITY, ADVENTURE, KINGDOMS, IMAGINATION, FACTORY dan MINILAND. Tiket masuk untuk sehari ialah 250 dirham (RM285) manakala setahun pula 765 dirham (RM874).
Diuruskan firma British, Merlin Entertainments, ia kini ada enam Legoland bermula di Billund, Denmark pada 1968 sebelum ke Windsor, Britain; Florida dan California, Amerika Syarikat; Gunzburg, Jerman dan Johor, Malaysia.
Selepas Dubai, Legoland bakal berkembang lagi pula ke Nagoya, Jepun; New York, Amerika Syarikat; Seoul, Korea Selatan; Shanghai, China dan satu lokasi yang belum dimuktamadkan di India – Agensi/Mynewshub.cc/HAA




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story