TMJ Kata FAM Mahu Selamatkan Pahang, PDRM

TMJ Kata FAM Mahu Selamatkan Pahang, PDRM

KUALA LUMPUR – Pemillik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sengaja mahu menyelamatkan pasukan Pahang dan PDRM daripada tersingkir ke Liga Perdana pada musim depan dengan menghukum pasukan lain termasuk JDT.

Baginda berkata, FAM menyelamatkan Pahang apabila memanggil sidang mesyuarat dan memutuskan pasukan itu mendapat tiga mata percuma kerana Kedah menurunkan pemain yang tidak layak bermain, Mohd Rizal Mohd Ghazali, dalam perlawanan Liga Super, 3 Ogos lalu.
Kata baginda, pasukan PDRM pula diselamatkan daripada turun ke Liga Perdana oleh FAM dengan memotong tiga mata JDT kerana menurunkan Juan Martin Lucero yang sudah mengutip tiga kad kuning ketika pasukan berkenaan menang ke atas PDRM pada 16 Ogos lalu.
“FAM terpaksa memotong mata JDT untuk menyelamatkan Pahang. Mereka perlu menghukum JDT. Ini kerana jika tidak memotong mata JDT, PDRM akan protes kenapa Pahang boleh membuat bantahan selepas 72 jam tetapi PDRM tidak boleh?
“Sepatutnya bukan PDRM yang tersingkir. Tetapi pasukan yang telah membuat bantahan selepas 72 jam iaitu melanggar statut FAM dan undang-undang. Saya berjanji akan membunuh korupsi dalam FAM, membantu bola sepak tanahair dan pasukan kebangsaan,” kata baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Tunku Ismail mendakwa statut FAM menyatakan tiada sebarang protes berhubung satu-satu keputusan perlawanan selepas 72 jam perlawanan terbabit berakhir, tetapi Jawatankuasa Tatatertib FAM memanggil sidang mesyuarat dan memutuskan Pahang mendapat tiga mata percuma selepas dua bulan.
Baginda mendakwa, perkara itu berlaku kerana pengurusan FAM tidak suka kepada pasukan Pulau Pinang kerana Pulau Pinang diuruskan oleh Datuk Gary Nair yang merupakan musuh FAM.
Dakwa baginda, Gary adalah indiividu yang membantah berkenaan polisi Sultan Pahang sebagai Presiden FAM (sewaktu Sultan Pahang menjadi Presiden FAM).
“Oleh itu, FAM hendak menurunkan Pulau Pinang kerana hendak menyelamatkan pasukan yang penting bagi mereka dan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).
“Dalam Jawatankuasa Tatatertib tersebut, semua sekali adalah merupakan ‘orang kuat’ yang telah menerima gelaran Datuk (saya tak nak cakap daripada mana), tapi itulah kenyataannya,” dakwa baginda lagi.
Baginda turut menegaskan berkemungkinan memberi ucapan mengenai betapa korupnya FAM di Madrid, Sepanyol.
“Saya mahu bertanya, adakah mereka mahu air muka bola sepak tanah air ini jatuh oleh kerana mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab dan korup ini? Pilihan itu ada di atas tangan mereka,” kata baginda. – MYNEWSHUB.CC




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story