Piala AFF: 2 Gol Amri Bantu Malaysia Tewaskan Kemboja

Piala AFF: 2 Gol Amri Bantu Malaysia Tewaskan Kemboja

YANGON – Skuad Harimau Malaysia bangkit dua kali sebelum menang tipis 3-2 ke atas Kemboja pada aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2016 di Stadium Thuwunna, Yangon di sini.

Pasukan kebangsaan dikejutkan dengan jaringan kontroversi penyerang Kemboja, Chan Vathanaka seawal minit keenam.
Pemain Malaysia membantah keputusan pengadil dari Oman, Abdul Baqi Yaqoob Said Abdullah yang membenarkan gol berkenaan walaupun penjaga garisan terlebih dahulu mengangkat bendera kerana Vathanaka dikatakan berada pada kedudukan ofsaid sebelum menjaringkan gol.
Tersentak dengan jaringan itu, skuad kebangsaan kembali memperkemaskan permainan bagi memburu gol penyamaan dan hasilnya pemain sayap kiri, Mohd Syazwan Zainon menyamakan kedudukan pada minit ke-36.
Gol tersebut berpunca daripada hantaran silang Mohd Irfan Fazail kepada Mohd Syazwan yang menggelecek pertahanan Kemboja sebelum melepaskan rembatan kencang melepasi jangkauan penjaga gol, Sou Yaty dan kedudukan 1-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung babak kedua, skuad Harimau Malaysia kembali menggandakan asakan bagi memburu jaringan namun percubaan Mohd Syazwan pada babak awal perlawanan terkena tiang gol lawan.
Skuad kebangsaan terus mendominasi perlawanan namun Kemboja lebih bernasib baik selepas Vathanaka melakar gol peribadi keduanya menerusi rembatan kencang pada minit ke-58 yang menerjah penjuru kiri gol Malaysia.
Kapten pasukan Mohd Amri Yahyah kembali menyamakan kedudukan untuk skuad Harimau Malaysia pada minit ke-68 selepas menolak masuk hantaran pendek daripada rakan sepasukan.
Selang tiga minit kemudian, Mohd Irfan hampir menjaringkan gol ketiga untuk skuad Harimau Malaysia namun palang gol terus menjadi penghalang.
Mohd Amri memastikan tiga mata menjadi milik penuh skuad Harimau Malaysia selepas meledak gol kemenangan pada minit ke-79 apabila memanfaatkan hantaran rakan sepasukan dan keputusan 3-2 itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Malaysia dijadual menentang Vietnam manakala Kemboja berdepan tuan rumah bersama, Myanmar pada aksi kedua Kumpulan B di gelanggang sama, Rabu ini. – BERNAMA




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story