Pelajar Tingkat Dua Juara Roket Air Asia Pasifik


SEPANG – Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi Pulau Tuba, Langkawi, Kedah, mengharumkan nama Malaysia apabila menjuarai Kejohanan Roket Air Peringkat Asia Pasifik di Los Banos, Laguna, Filipina.
Khairul Ikmal Hakim Nurisyam, 14, menewaskan 57 peserta dari 12 pasukan di rantau Asia Pasifik apabila roket ciptaannya dengan botol plastik berjaya mencatatkan jarak hanya sejauh 1.5 meter daripada sasaran.
Pertandingan itu memerlukan setiap peserta melancarkan roket setepat yang mungkin ke sasaran yang terletak sejauh 80 meter dan setiap peserta dinilai secara individu bagi jarak yang terdekat dengan sasaran.
Khairul Ikmal Hakim adalah antara empat pelajar negara ini yang menyertai acara yang diadakan sempena Forum Agensi Angkasa Serantau Persidangan Asia Pasifik (APRSAF) ke-23 di Universiti Filipina, Los Banos.
Beliau membawa pulang hadiah berupa model roket H-IIB Launch Vehicle dan sijil penyertaan.
Selain Khairul Ikmal Hakim, turut serta menyertai kejohanan tersebut ialah rakan sekolahnya, Rohizad Zarain, 15, dan juga guru pembimbing, Mohd. Jazrinizad Jamaludin.
Dua peserta lain adalah pelajar dari SMK Tinggi Kajang, Selangor iaitu Amir Haziq Noor Alif Wira, 16, dan P. Hariharan, 16, serta guru pembimbing, Noralina Ishak.
Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Azhar Yahaya hadir menyambut kepulangan kedua-dua pasukan Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2), di sini hari ini.
Beliau berkata ini merupakan kali kedua Malaysia menjuarai pertandingan ini setelah menjuarainya pada tahun 2014 di Tokyo.
Sementara itu, Khairul Ikmal berkata pengalaman tahun lepas setelah gagal di peringat kebangsaan membantu beliau menjuarai kejohanan kali ini.
Beliau yang berkecimpung dalam permainan roket air sejak dua tahun lalu berterima kasih kepada guru yang memberi tunjuk ajar sehingga menjuarai kejohanan tertinggi roket air.
“Saya akan mempergiatkan latihan agar dapat melayakkan diri untuk mewakili Malaysia dalam kejohanan yang sama di Korea Selatan tahun depan,” katanya. – BERNAMA


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story