Wira bawah jambatan


Bukit Mertajam: “Saya sangka ada orang dapat ikan besar selepas mendengar jeritan beberapa pemancing lain, namun terkejut apabila melihat tangan seorang lelaki terkapai-kapai,” kata Mohd Razif Othman, 28, menceritakan detik cemas ketika menyelamatkan seorang lelaki yang terjun di Kilometer 3.4 Jambatan Pulau Pinang menghala Georgetown, di sini, semalam.
Menurut Mohd Razif, kejadian berlaku jam 1 tengah hari dan ketika itu dia bersama rakannya, P Jaya Kumar, 26, menaiki bot gentian kaca bapanya untuk memancing di bawah jambatan.
“Kami berdua baru tiba di kawasan terbabit 20 minit dan sedang bersiap untuk mencari umpan, namun terkejut sejurus mendengar jeritan pemancing lain.
“Saya sangka ada pemancing dapat ikan besar namun selepas melihat tangan orang terkapai-kapai saya terus menghidupkan enjin bot dan pergi berhampiran mangsa,” katanya.
Menurutnya, sebaik tiba, dia dan rakannya terus menarik tangan lelaki berkenaan naik ke atas bot.
“Memang kami bernasib baik kerana ketika itu hanya jarinya yang kelihatan namun kami sempat mencapai dan menarik tangan lelaki berkenaan.
“Jika lewat mungkin lelaki terbabit akan tenggelam dan ini akan menyukarkan usaha kami berdua untuk menyelamatkannya,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mohd Razif yang bekerja di sebuah syarikat kawalan serangga perosak dan Jaya Kumar yang bekerja di sebuah kilang kerap memancing bersama ketika hujung minggu.
Sementara itu, Jaya Kumar berkata, jika mereka terlewat seminit lelaki terbabit mungkin terus tenggelam dan dihanyutkan air.
“Kami bernasib baik kerana tiba di lokasi kejadian tepat pada waktunya dan ketika dinaikkan perut lelaki berkenaan sudah kembung akibat tertelan air.
“Saya lihat hidungnya juga berair dan kami terus menekan perut lelaki terbabit hingga dia tersedar namun dia lebih banyak mendiamkan diri dan tubuhnya menggigil,” katanya.
Kedua-dua sahabat berkenaan kemudian membawa lelaki terbabit ke Jeti Pengkalan Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa yang berusia 43 tahun dan bekerja di sebuah kilang itu dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut. hmetro

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story