Fenomena Air Merah: 2 Mati Di Sabah

Fenomena Air Merah: 2 Mati Di Sabah

KOTA KINABALU – Dua kematian dilaporkan dipercayai akibat keracunan selepas memakan kerang yang dicemari toksik berpunca daripada fenomena air merah di perairan pantai barat Sabah sejak keadaan itu dikesan dua bulan lepas.
Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Rayner Stuel Galid berkata kedua-dua kematian dilaporkan di Sepanggar, Rabu lepas.
Beliau berkata sampel air laut yang diambil di perairan Sepanggar mencatatkan bacaan toksin yang tinggi mencapai 6,000 unit mouse (MU).
“Ini menunjukkan tahap pencemaran air merah di perairan berkenaan amat tinggi kerana bacaan yang mencapai 400 MU sudah cukup bertoksin dan membahayakan,” katanya.
Rayner berkata pencemaran air merah dikesan di perairan Papar, Putatan, Tasik Sitompok di Kuala Penyu di sini dan Tuaran.
Katanya, orang ramai yang memakan hidupan laut yang dicemari toksin berkenaan boleh mengalami keracunan ‘paralytic shellfish poisoning’ (PSP) dan jika tahap toksinnya tinggi boleh menyebabkan lumpuh serta kematian.
“Fenomena ini dijangka berterusan sehingga Mei depan dan jabatan akan terus memantau dan memberikan maklumat dari semasa ke semasa untuk keselamatan orang ramai,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak memakan kerang, siput dan ikan kecil sementara ikan laut dalam, sotong dan ketam boleh dimakan tetapi perlu dibuang insang dan dibersihkan dengan baik. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story