Ibu Gembira, Usaha Yuna Berbalas Di AJL

Anum Wahab

KUALA LUMPUR – Kemenangan besar penyanyi wanita, Yunalis Zarai merangkul juara Anugerah Juara Lagu (AJL) 27 malam semalam memperlihatkan bakat seni terbesar yang ada dalam diri Yuna.
Walaupun tidak berada di Malaysia bagi meraikan kejayaan lagunya, Terukir Di Bintang yang dinyanyikan oleh artis lelaki, Aizat, ibu Yuna, Anum Wahab melahirkan rasa syukur atas kemenangan anak tunggalnya.
Anum turut hadir bersama-sama suaminya untuk menyaksikan sendiri persembahan Aizat membawakan lagu dan lirik ciptaan Yuna itu.
Ternyata, usaha Anum yang hadir dari Kuantan membuahkan hasil kerana lagu Yuna itu membawa tuah kepada anaknya.
“Sebagai ibu sudah tentunya rasa bangga dan bersyukur sangat.
“Setelah melihat usaha dan kegigihan Yuna dalam bidang muzik yang dia minati, kejayaan ini seperti balasan kepada penat lelah dia selama ini,” kata Anum.
Sebelum berlangsungnya AJL 27 ini, isu sensitif mengenai penggantian Yuna dalam pertandingan itu merupakan isu yang sangat besar kerana penganjur AJL 27 telah menggugurkan artis veteran, Uji Rasyid untuk menyampaikan lagu Yuna.
Anum mengakui, hatinya berasa tidak senang mengenai isu tersebut kerana Yuna sendiri tidak berada di Malaysia bagi menyelesaikan kemelut itu.
“Setelah apa yang berlaku (isu pengganti Yuna), saya susah hati sebenarnya. Terima kasih banyak-banyak kepada team Aizat serta team Palawan yang telah memberikan persembahan terbaik walaupun menerima tanggungjawab ini di saat-saat akhir.
“Apabila diberitahu Uji Rashid perlu diganti dengan orang lain, Yuna tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan dia tiada di sini. Jadi kami (pengurusan Yuna) akur dengan jalan penyelesaian yang diusulkan pihak penganjur untuk kebaikan semua pihak,” terang Anum.
Pun begitu, Anum telah menghubungi Uji Rasyid sendiri bagi memohon maaf atas situasi tersebut dan ternyata Uji Rasyid memahami keadaan Yuna dalam mengharungi pertandingan besar AJL 27.
“Saya telah menghubungi sendiri Uji Rashid sendiri dan memohon maaf atas apa yang berlaku. Alhamdulillah dia faham dengan situasi yang berlaku.
“Yuna juga ada menghubungi Uji untuk meminta maaf kerana terjadinya perkara seperti ini dan ianya berada di luar bidang kuasa Yuna,” katanya.
Oleh: NAIMAH SHAARI

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story