Naik Tambang Bas Sekolah Kena Rujuk SPAD

Naik Tambang Bas Sekolah Rujuk SPAD

KUALA LUMPUR- Pengusaha bas sekolah di seluruh negara diminta berunding dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)terlebih dahulu sekiranya berhasrat untuk menaikkan harga tambang bas bagi sesipersekolahan tahun 2013.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, pengusaha bas harus mengikut peraturan yang ditetapkan oleh SPAD dan tidak menaikkan harga tambang sewenang-wenangnya tanpa mendapat persetujuan SPAD.
“Sekiranya mereka (pengusaha bas) masih berdegil dan menaikkan tambang tanpapersetujuan SPAD maka ibu bapa wajib melaporkan perkara ini dengan segera kepadaSPAD atau pihak berkuasa agar tindakan dapat diambil terhadap mereka,” katanyaketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media baru-baru ini mengenai dakwaan ibu bapa pelajar sekolah bahawa ada segelintir pengusaha bas sekolah khususnya di Lembah Klang telah menaikkan harga tambang bas tahun ini.
Menurut laporan itu, mereka (ibu dan bapa pelajar) berkata walaupun tiada sebarang pengumuman rasmi daripada kerajaan atau SPAD mengenai kenaikan tambang bas, pengusaha bas secara senyap telah menaikkan tambang bas antara RM5 hingga RM10.
Tambang bas sekolah sebelum kenaikan itu adalah di antara RM30 hingga RM50, bergantung kepada kawasan dan jarak perjalanan pelajar dari kediaman ke sekolah masing-masing tetapi ibu bapa sekarang terpaksa membayar tambang antara RM40 hingga RM55 tanpa mendapat sebarang penjelasan daripada pengusaha bas terbabit.
Mohamad Ali berkata, pengusaha bas tidak seharusnya mengambil jalan mudah dengan memberi alasan bahawa harga alat ganti dan kos operasi bas telah meningkat dan menjadikan ibu bapa pelajar sekolah sebagai sasaran untuk mengaut keuntungan.
Sehubungan itu, beliau meminta SPAD memantau isu kenaikan tambang bas itu dan melakukan pemeriksaan mengejut terhadap pengusaha bas dari semasa ke semasa di seluruh negara sama ada mereka mempunyai lesen kenderaan perkhidmatan awam Bas Sekolah yang sah.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Shaani Abdullah berkata, sehingga kini tiada pengumuman dibuat oleh SPAD atau kerajaan mengenai kenaikan tambang bas sekolah itu.
“Ibu bapa yang menjadi mangsa penipuan ini perlu menyimpan resit sebagai bukti kukuh untuk mendakwa pengusaha bas yang terbabit, sekiranya benar perkara itu berlaku,” katanya.
Muhammad Shaani berkata, SPAD perlu mencontohi negara jiran dalam pelaksanaantambang pengangkutan awam termasuk bas sekolah dan memastikan kadar kenaikantambang itu disemak sama ada setiap enam bulan atau setahun sekali.
Apa yang menjadi masalah sekarang, SPAD tidak melakukan pemantauan terhadap bas sekolah dan Fomca bimbang kemungkinan wujud operasi bas sekolah secara haram yang tidak mempunyai lesen kenderaan perkhidmatan awam Bas Sekolah yang sah dan pemandunya pula tiada Lesen Kenderaan Perdagangan, katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia Md Saad Mohamad berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan dari anggotanya untuk menaikkan tambang bas.
Justeru itu, Md Saad menggesa semua anggota GPPBSM agar tidak bertindak melanggar peraturan yang ditetapkan SPAD dan meminta ibu bapa yang menjadi mangsa kenaikan tambang bas supaya melaporkan kepada SPAD dengan segera.
GPPBSM mempunyai kira-kira 14,000 anggota di seluruh negara. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story