Nicol Bertemu Laura Pada Perlawanan Akhir

Nicol David

KUALA LUMPUR – Juara dunia tujuh kali, Datuk Nicol Ann David, menempah tiket ke perlawanan akhir kejohanan skuasy Siri Dunia 2012 apabila mengalahkan pemain Perancis Camille Serme dalam perlawanan separuh akhir di London semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di The Queen’s Club itu, Nicol, 29, hanya mengambil masa 23 minit untuk menamatkan tentangan Camille dengan mata 11-5 dan 11-8.
Laman web www.squasite.co.uk memetik ratu skuasy negara itu sebagai berkata beliau menjangka berdepan dengan tentangan hebat daripada Laura, yang dikalahkannya pada perlawanan akhir kejohanan Piala Dunia di Kepulauan Cayman bulan lalu.
“Dalam perlawanan kami sebelum ini, Laura bermain dengan baik dan dia sukar dijinakkan.
“Bagaimanapun, saya memang berharap akan bertemu dengannya pada perlawanan akhir. Harap-harap saya akan menang,” kata Nicol.
Laura mengalahkan Nicol dalam satu perlawanan secara round robin Khamis lepas.
“Secara jujur, kemenangan itu memberi sedikit sebanyak keyakinan kepada saya, tapi sebagai pemain yang bencikan kekalahan, beliau (Nicol) sudah pasti akan meningkatkan prestasi dan ini membuatkan beliau amat sukar dikalahkan pada perlawanan akhir kelak,” kata Laura.
Laura mendapat tempat ke perlawanan akhir kejohanan ini setelah mengalahkan rakan senegaranya, Jenny Duncalf 6-11, 11-8 dan 11-9 dalam perlawanan selama 45 minit.
Pertarungan antara Nicol dan Laura akan berlangsung pada jam 4 petang waktu tempatan (12 tengah malam di Malaysia) hari ini. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Loading...

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story