Ribut Sonamu: Jangan Panik Khabar Angin

Ribut Sonamu: Jangan Panik Khabar Angin

KUALA TERENGGANU – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu meminta orang ramai di beberapa kawasan di Pantai Timur tidak panik dengan khabar angin bahawa ribut tropika Sonamu akan mencetuskan angin kencang.
Setiausaha Keselamatan MKN Terengganu Tajul Ariffin Muhamad berkata keadaan semasa menunjukkan kekuatan ribut yang dijangka membadai negeri-negeri Pantai Timur itu semakin berkurangan apabila menghampiri perairan negara.
“Mengikut ramalan, jika ribut tropika itu melanda, ia boleh menyebabkan banjir besar dan dijangka lebih teruk dari gelombang pertama,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, pemantauan mendapati ribut tersebut berpusar di tengah laut dan menjauhi kawasan persisiran pantai.
Namun begitu, beliau tetap meminta penduduk terutama yang tinggal di kawasan pantai agar mengambil langkah berjaga-jaga.
Katanya, agensi keselamatan seperti bomba dan penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri juga telah bersedia untuk menghadapi kemungkinan banjir gelombang ketiga.
Sementara itu, pemantauan Bernama di sekitar daerah ini mendapati sekalipun cuaca mendung, keadaan angin adalah seperti biasa.
Tinjauan Bernama di beberapa lokasi di pesisiran pantai dari Chendering di sini hingga ke pantai Batu Buruk pula mendapati keadaan ombak adalah seperti biasa dan peniaga serta nelayan tekun meneruskan kegiatan mereka.
Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini dilapor meramalkan berlaku hujan lebat di negeri-negeri Pantai Timur sepanjang minggu ini akibat ribut tropika Sonamu.- Bernama

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story