'Sampai hati buat cikgu begini'


Murnaena Muhammad Nasir
am@hmetro.com.my


Add caption

"TERGAMAK kalian buat cikgu begini." Demikian kekecewaan Mohd Khairul Izzuddin Shaari, 31, yang terbaca komen terbuka pelajar sekolah di Twitter yang tidak mempedulikan pembelajaran dalam talian.

Mohd Khairul memuat naik tangkap skrin komen negatif pelajar yang tidak peduli pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian di akaun Twitternya dan mendapat lebih dari 25,000 ulangkicau.

Melalui perkongsian itu, ramai guru berkongsi nasib sama tetapi tabah menunaikan tanggungjawab sebagai pendidik.

Mohd Khairul berkata, kelakuan segelintir pelajar yang berani memuat naik ciapan di Twitter seolah-olah bersepakat tidak menghiraukan kerja sekolah diberi guru masing-masing mengundang kerisauan dalam dirinya.

"Pagi petang, siang malam cikgu bersusah payah mencari bahan untuk sediakan pembelajaran dalam talian untuk anak murid tapi ini balasan yang diberi.

"Kelakuan anak murid seperti ini amat mendukacitakan. Tolong hormat cikgu dan buatlah kerja sekolah yang diberikan supaya tidak ketinggalan," katanya.

Lebih kesal lagi, ada juga pelajar sekolah yang menulis di Twitter sengaja tidak mahu menyertai 'Google Classroom' dan kelas dalam talian di 'Google Meet' walaupun mempunyai akses Internet di rumah.

"Sepatutnya murid menggunakan kelebihan jaringan Internet di rumah kerana ramai di luar sana tidak mempunyai kemudahan ini terutamanya di pedalaman dan luar bandar.

"Saya yang bekerja di sekolah pedalaman di Kelantan memahami keinginan murid yang ingin belajar tetapi tiada akses Internet mahupun gajet," katanya.

Sementara itu, guru sekolah menengah, Wahida Mustaffa, 46, berkata, kejayaan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dalam proses PdP dalam talian sebenarnya bergantung kepada pelajar itu sendiri.

"Tidak semua pelajar beruntung mempunyai akses Internet dan telefon bimbit. Ada yang terpaksa berkongsi dengan adik-beradik dan meminjam telefon ibu mereka.

"Namun, ada segelintir murid sengaja tidak mengendahkan kerja sekolah diberikan sedangkan bila saya jenguk mereka 'online' tetapi tidak respon di kumpulan Whatsapp kelas," katanya.

Situasi berbeza dialami guru tingkatan enam, Jamilah Mat Yusof, 43, yang bersyukur semua anak didiknya tiada masalah menyertai PdP dalam talian sehingga kini.

"Telegram dan Whatsapp antara platform yang saya gunakan untuk menyalurkan bahan bacaan dan 'slide' memandangkan ada segelintir pelajar yang tidak mengaktifkan alamat akaun Google.

"Saya rasa dalam hal ini, kematangan dan usaha pelajar itu sendiri penting dalam proses pembelajaran dalam talian kerana cikgu tiada kuasa untuk marah dan arah pelajar ikut cakap cikgu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 5:27 PM

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story