Aaron Aziz Tekankan Agama Didik Anak


Aaron Aziz Bersama Isterinya, Diyana Halik

PETALING JAYA: Pelakon kacak Aaron Aziz mengakui masih menggunakan cara lama dan pendekatan agama dalam mendidik tiga anaknya.

Bagaimanapun, dia tidak mahu terlalu mengongkong dan mengatur cara hidup anaknya seperti yang biasa dilakukan ibu bapa masa kini.

"Saya mengaku terlalu konservatif dalam hal mendidik anak-anak terutamanya dalam soal agama. Kalau boleh saya nak bagi yang terbaik kepada mereka.

"Walaupun sesibuk mana bekerja saya tetap akan luangkan masa bersama anak-anak. Saya tidak mahu mereka rasa saya tiada di sisi mereka," katanya ketika ditemui di Majlis Hari Bapa Oreo Bersama Aaron Aziz di sini, Selasa.

Bapa kepada Danish Anaqi, 7, Dwi Arinna, 5, dan Dahlia Arissa, 1, ini juga mengaku sering mendedahkan anak-anaknya kepada bidang seni agar mereka lebih memahami dunia yang diceburinya itu.

"Jika ada iklan yang memerlukan saya dan anak-anak saya bawa mereka sekali. Saya rasa tidak salah untuk dedahkan mereka tentang kerjaya saya.

"Dengan cara itu, mereka lebih memahami dan senang untuk jelaskan bila mereka bertanya ke mana saya pergi," katanya.

Bercerita tentang bapanya, Aaron memberitahu dia sudah kehilangan ayah kandung sejak berumur dua tahun.

"Saya tidak banyak pengalaman semasa kecil bersama ayah kandung. Mungkin disebabkan itu saya mahu anak-anak saya rasa kasih sayang seorang bapa yang secukupnya.

"Bagaimanapun ketika berumur 13 tahun ibu saya berkahwin lagi dan bapa tiri saya banyak beri nasihat dan panduan untuk menjadi seorang ketua keluarga yang baik," katanya.

Sementara itu, dia mengakui beruntung kerana kerjaya lakonan diuruskan sendiri oleh isteri yang banyak memahami.

"Lakonan adalah satu bidang perniagaan. Saya bersyukur isteri yang menguruskan jadual kerja saya, jadi ia akan lebih mudah.

"Dia akan curi masa untuk waktu rehat dan habiskan masa bersama keluarga," katanya yang sedang sibuk dengan penggambaran drama Stanza Cinta untuk TV3.

Oleh KEMALIA OTHMAN 

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story