Showing posts with label Kebakaran. Show all posts
Showing posts with label Kebakaran. Show all posts

Jenazah Pelajar Tahfiz Ditemui Di Tingkat Dua




KUALA LUMPUR – Seramai 22 orang pelajar tahfiz dan dua orang warden dilaporkan terkorban dalam insiden kebakaran di pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dekat Bukit Keramat pada pukul 5:45 pagi tadi.

Manakala enam orang pelajar yang lain dikatakan dalam keadaan kritikal dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh berkata, anggota bomba yang bergegeas ke tempat kejadian berjaya menyelamatkan seramai 14 orang pelajar manakala empat orang guru yang lain telah berjaya menyelamatkan diri.
“Kesemua 24 orang mangsa telah ditemui di tingkat dua bangunan sekolah itu.
“Ini adalah kiraan badan semasa dan kami masih mengesahkan jumlah mayat yang meninggal dunia ketika ditemui,”kata Amar ketika ditemui oleh pemberita NST di tempat kejadian.
Beliau juga menambah bahawa hanya ada satu sahaja pintu masuk ke sekolah tersebut dan punca kebakaran masih lagi disiasat.
Jumlah penghuni sekolah tahfiz ini ialah seramai 36 orang pelajar. –MYNEWSHUB.CC/Ainaa Hafizah



Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Saksi Dengar Jeritan Mangsa Kebakaran Pusat Tahfiz - Takziah



KUALA LUMPUR – “Panas…panas…abang tolong panas!” Jeritan pelajar tahfiz itu terngiang-ngiang di ingatan Shahirman Sharil yang menyaksikan sendiri kebakaran di pusat tahfiz di Jalan Keramat Ujung, di sini awal pagi ini.

Shahirman, 39, yang tinggal berhampiran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, berkata beliau mendengar jeritan para pelajar pusat tahfiz itu kira-kira 5 pagi.
“Saya lihat keadaan di luar masih gelap kecuali api yang marak di tingkat tiga pusat tahfiz itu. Saya bersama penduduk lain cuba bantu mengeluarkan mereka,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurut Shahriman, beliau dan jiran-jiran kemudiannya mengarahkan beberapa pelajar terjun dari tingkat tiga.
“Kami cuba menyambut mereka, ada yang melecur. Kami cuba bantu apa yang perlu sebelum menunggu ketibaan bomba untuk memadam kebakaran di pusat tahfiz berkenaan,” katanya.
Seorang lagi saksi, kata Hazin, 69. berkata: “Mangsa menjerit minta tolong dari dalam asrama namun asap tebal dan api marak menyukarkan kami untuk membantu mereka.”
Menurutnya, ketika itu dia sedang nyenyak tidur dan jeritan kuat menyebabkan dia terjaga dan berlari ke pusat tahfiz tersebut untuk menghulurkan bantuan.
“Saya cuba mencari jalan untuk masuk ke pusat tahfiz itu namun pintu gril berkunci hingga saya tidak mampu melakukan apa-apa.
“Bukan saya seorang sahaja, ada beberapa lagi jiran tetaangga yang menghulurkan bantuan dan kami sedaya upaya mencuba untuk memadamkan api kebakaran sebelum pihak bomba sampai,” ujarnya.
Dalam kejadian itu, kira-kira 24 mangsa termasuk dua guru dipercayai maut akibat terhidu bau asap tebal.
Kejadian kebakaran didapati berlaku di tingkat dua bangunan tersebut dan api dapat dikawal pada pukul 6.15 pagi sebelum padam sepenuhnya pada pukul 6.45 pagi.
Malah, difahamkan kerja mencari dan menyelamat masih dijalankan dan kira-kira 24 mayat telah dikeluarkan manakala tujuh lagi yang terselamat cedera.
Sementara itu, seorang lagi saksi Nurhayati Abdul Halim, 46, berkata, dia hanya mampu menangis melihat kejadian itu memandangkan dia tidak mampu berbuat apa.
“Ahli keluarga saya menelefon pihak bomba bagi mendapatkan bantuan. Saya sangat terkejut dan kaku melihat kejadian itu kerana berlaku pertama kali di depan mata saya.
“Suara mereka meminta tolong masih terngiang-ngiang lagi dalam fikiran kerana mereka agak rapat dengan saya memandangkan asrama tersebut terletak di depan rumah saya,” ujarnya.
Setakat 10.30 pagi, seramai 22 pelajar dan dua guru dilaporkan maut dalam kebakaran di pusat tahfiz.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, dalam kejadian itu, enam pelajar dan seorang orang awam juga cedera. – BERNAMA




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Pekena teh lepas bakar rumah ANGGOTA bomba berjaya memadamkan kebakaran sebelum merebak ke rumah sebelah.


Ampang Jaya: Lepak santai di restoran sambil menikmati teh selepas membakar rumahnya sendiri.
Itu gelagat aneh seorang lelaki berusia 36 tahun yang dikesan menyebabkan kediamannya di Taman Bukit Teratai di sini, rentung hampir 100 peratus.
Dalam kejadian jam 7 pagi semalam, lelaki itu dikatakan bermain api seorang diri hingga menyebabkan tilam di bilik tidurnya terbakar.
Lelaki terbabit kemudian terjun daripada balkoni ke rumah jiran dan keluar berjalan ke sebuah restoran berhampiran sebelum dilihat minum seorang diri.
Seorang jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Soh, 62, berkata, dia segera mengambil alat pemadam api dan masuk ke rumah jiran itu sejurus menyedari berlaku kebakaran.
Katanya, dia terpaksa menggunakan dua alat pemadam api namun masih gagal untuk memadamkan kebakaran sebelum menghubungi bomba.
“Ketika itu saya dapati pemilik rumah hilang dari kediamannya. Malah pintu hadapan rumah dibiarkan terbuka tanpa berkunci.
“Pemilik rumah dipercayai mengalami sakit mental sejak beberapa bulan lalu dan kerap membuat bising terutama pada waktu malam,’ katanya.
Katanya, lelaki itu hidup sebatang kara di rumah berkenaan selepas menghalau isteri, anak serta bapanya beberapa bulan lalu.
“Sudah beberapa kali kami melihat dia membakar sampah-sarap di dalam kawasan rumahnya. Tetapi kami tidak berani untuk menegurnya kerana bimbang lelaki itu akan mengamuk.
“Penduduk di sini juga sudah beberapa kali membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri dan keluarga,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, pihaknya mengerahkan 11 anggota dan dua jentera bomba ke lokasi kejadian.
Anggota bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah bersebelahan pada jam 8.50 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, suspek yang juga pemilik rumah berjaya ditahan berhampiran lokasi kejadian dan dibawa ke Balai Polis Pandan Indah untuk tindakan lanjut.
“Suspek disyaki lelaki yang menghadapi masalah kemurungan dan tinggal seorang diri di rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam. -hmetro

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Video: Padah Bergurau Guna Pemetik Api Di Stesen Minyak

Video: Padah Bergurau Guna Pemetik Api Di Stesen Minyak

PADAH bermain pemetik api, sekumpulan remaja nyaris terbakar apabila tangki minyak motosikal yang digunakan ketika mengisi minyak, disambar api dalam kejadian di Kluang, Johor Bahru, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.45 petang di Stesen Petron Taman Makmur Kluang itu, salah seorang remaja terbabit pada mulanya sedang mengisi minyak motosikalnya sebelum dua rakannya secara bergurau menyalakan pemetik api ke arah tangki minyak motorsikalnya.

Gurauan rakannya itu mengundang padah apabila api mula menyambar motosikal menyebabkan mangsa pantas mencampak nozzle pam minyak berkenaan.

Panik dengan insiden itu, beberapa rakannya dilihat pantas melarikan diri sementara mangsa pula cuba untuk memadamkan api pada motosikalnya.
Mujurlah seorang pekerja stesen minyak tampil membantu dengan cuba mengambil pemadam api, namun membatalkan niat sejurus melihat api dapat dikawal.
Bagi kami, alangkah baiknya jika pekerja stesen minyak itu terus memberi penampar kepada dua remaja berkenaan yang ‘bingai’ bergurau tidak kena tempat.
Inilah masa yang sesuai nak bagi pengajaran kerana perbuatan kurang bijak remaja-remaja berkenaan boleh mengancam keselamatan orang ramai yang berada berhampiran stesen minyak tersebut. – MYNEWSHUB.CC

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Kecuaian Pekerja Punca Kebakaran Dekat KL Sentral



KUALA LUMPUR – Kecuaian membakar sisa binaan menjadi punca kebakaran bangunan tinggi milik Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang sedang dibina berhampiran KL Sentral semalam, kata Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khiruddin Derahman.
Beliau berkata, siasatan bomba mendapati perbuatan membakar sisa pembinaan seperti kayu-kayan dan bahan mudah terbakar dilakukan oleh pekerja binaan.
“Kami mengambil masa selama tujuh jam untuk memastikan api benar-benar padam disebabkan pihak kontraktor gagal menyediakan kemudahan kebombaan di bangunan itu,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan pihak MRCB, kontraktor dan arkitek, hari ini.
Semalam bangunan komersial milik MRCB setinggi 33 tingkat yang sedang dalam pembinaan dan bakal menempatkan pejabat syarikat petroleum terkemuka di KL Sentral, Jalan Tun Sambanthan di sini, terbakar pada jam 3.50 pagi dan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar.
Bangunan 38 tingkat itu di jangka siap penghujung tahun ini.
Khiruddin berkata, pihak bomba terpaksa mengepam air daripada kolam di kondominium bersebelahan bangunan terbakar itu dan pam jentera bomba untuk memadamkan api.
Beliau berkata, walaupun bangunan terbakar itu mempunyai sistem saluran paip air untuk bomba tetapi bekalan air, hos serta pili masih belum ada.
“Akibatnya bomba mengambil masa yang lama untuk memadamkannya iaitu dari awal pagi sehingga 1 petang semalam dan keadaan angin yang bertiup kencang turut mempercepatkan kebakaran itu,” katanya.
Beliau berkata, kelemahan dalam menyediakan sistem kebombaan itu menyukarkan pihaknya memadamkankan api.
“Saya sudah menasihati pihak pemaju dan pemilik agar menyediakan sistem kebombaan itu kerana ia menjadi syarat penting bagi bangunan yang tingginya melebihi 18.3 meter. Mereka perlu mematuhi syarat ini dan menyediakannya,” katanya.
Ditanya mengenai tindakan terhadap pihak yang cuai, Khiruddin berkata tindakan akan dibuat selepas laporan bomba siap minggu depan dan pada masa ini mereka hanya diberikan nasihat untuk dipatuhi. – BERNAMA

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story