KUALA LUMPUR – Pengacara popular TV3, Ally Iskandar Mohd Mardzi, 36, akhirnya menamatkan zaman bujangnya apabila selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Nurfarahin Romli, 23, di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Terengganu pagi semalam.
Menariknya, Nurfarahin atau sebelum ini hanya dikenali dengan nama Farah Lee tidak menerima sebarang wang hantaran dari suaminya itu dan sebaliknya digantikan dengan hadiah sebuah rumah yang dibeli Ally di Damansara di sini.
Pasangan yang mengenakan pakaian serba putih pada majlis akad nikah yang serba sederhana itu juga saling berbalas hantaran di mana pihak perempuan menerima tujuh dulang hantaran manakala pihak lelaki menerima tujuh.
Tujuh dulang hantaran yang diberikan Ally kepada isterinya itu terdiri daripada senaskah Al-Quran, sebentuk cincin dan sireh junjung, sepasang telekung dan sejadah, komputer riba MacBook, coklat Ferrero Rocher, kunci rumah dan kuih bahulu.
Isterinya pula membalas dengan memberikan Ally sebentuk cincin, senaskah Al-Quran, iPhone 4S, coklat Hersheys, manisan, bunga rampai, sepasang baju Melayu lengkap bersampin, sepasang jubah dan sejadah, serta persalinan kemeja.
Majlis akad nikah tersebut lancar dengan dua kali lafaz dan pasangan mempelai itu dinikahkan oleh jurunikah Kampung Atas Tol, Mohd Abu Bakar dengan mas kahwin sebanyak RM250 berwalikan bapa Farah Lee, Romli Ismail, 60.
“Saya rasa syukur dan gembira apabila semuanya telah selesai. Dalam masa yang sama saya juga rasa sedikit kekok dengan Farah sebab kami masih dalam peringkat berkenalan.
“Harap perkahwinan ini akan kekal ke akhir hayat. Sebagai suami, saya akan cuba laksanakan tanggungjawab saya dengan sebaik mungkin,” katanya yang dipetik dari laman blog hiburan terkenal, Gua.com.
Pasangan itu yang mula berkenalan pada sebuah majlis rumah terbuka, cuba di’satu’kan dengan usikan-usikan dari keluarga Ally yang dikatakan berkenan kepada Farah Lee dari awal dan mendedahkan bahawa mereka tidak pernah bercinta mahupun mengucapkan ucapan “I love you”.
“Ketika diperkenalkan saya sudah dimaklumkan yang Farah ingin berkahwin pada usia muda. Selepas adik dan emak saya cuba ‘kenen-kenenkan’ kami berdua, saya terus berjumpa Farah dan suarakan hasrat hati untuk berkahwin dengannya.
“ Kami memang tidak permah melalui musim percintaan macam pasangan-pasangan lain. Bahkan, saya juga tidak pernah lafazkan I Love You kepada Farah,”katanya lagi.
Alhamdulillah, tahniah penulis ucapkan kepada pasangan comel yang sangat ideal itu selepas berjaya menjalankan satu ibadah yang dituntut Rasulullah SAW kepada umatnya dan semoga jodoh mereka berkekalan hingga ke akhir hayat.
Teruja dengan pasangan yang agak “low profile” untuk perkahwinan mereka itu, suka untuk penulis berkongsi kenangan terindah pasangan Ally dan Farah melalui beberapa keping gambar yang dipetik dari beberapa blog hiburan terkenal Gua.com, Izyan.com dan RentakArtis.com yang sempat menghadiri majlis pernikahan itu.
Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN
0 comments:
Post a Comment