KANGAR: “Dada saya seperti dibakar, malah hampir keseluruhan mulut serta tekak tiba-tiba menjadi panas kerana terminum cecair berkenaan,” kata Mohd Syazwan Abdul Rohim,17, selepas terminum pencair cat yang disangka air minuman ringan.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7 malam Isnin lalu, apabila Mohd Syazwan yang dahaga sebaik pulang dari bengkel sekolahnya di Arau di sini, mencapai satu botol di atas katilnya yang disangka minuman ringan lalu minum sebelum dadanya berasa panas.
Mohd Syazwan berkata, dia meneguk cecair berkenaan dua kali sebelum dada serta mulutnya tiba-tiba terasa panas dan sakit sehingga menyebabkannya berada dalam keadaan separuh sedar.
Menurutnya, ketika itu dia berasa begitu haus sebelum menyedari minuman yang diteguk itu adalah pencair cat.
“Dada saya terus terasa panas manakala mulut serta tekak berasa seperti terbakar akibat kesan cecair berkenaan sehingga saya menggelupur kesakitan.
“Saya cuba menjerit meminta pertolongan rakan, namun gagal kerana sukar bertutur akibat kesakitan.
“Nasib baik ada rakan ternampak lalu meminta bantuan dan saya ke rumah warden asrama sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk rawatan,” katanya ketika ditemui di HTF di sini, semalam.
0 comments:
Post a Comment