KUALA LUMPUR : Ketika industri hiburan tanah air menerima berita gembira dua pelakon wanita negara, Fasha Sandha dan Eira Syazira sudah pun hamil, pelakon wanita lain, Yasmin Hani tidak menafikan dia juga sudah merancang untuk mempunyai cahaya mata.
Cuma bezanya, Yasmin merancang untuk menimang cahaya mata pada hujung tahun nanti.
Keputusan untuk merancang kehadiran insan baru dalam keluarganya dilakukan berikutan jadual kerjaya dan aktiviti lakonannya yang padat dari masa ke semasa.
Malah, Yasmin dan suaminya, Shahrin Razali juga bersepakat untuk ‘menyekat’ dahulu keinginan mereka.
“Saya memang merancang kehamilan kerana jadual kerjaya saya dan suami yang agak padat buat masa ini tetapi Insya-Allah hujung tahun ini baru semua perkara selesai dan boleh fokus kepada keluarga dan memiliki anak,” kata Yasmin seperti dalam mStar Online.
Antara sebab lain yang dinyatakan Yasmin untuk tidak mempunyai anak buat masa sekarang kerana dia bakal menyertai sebuah program realiti yang memerlukan pergerakan yang aktif serta tangkas.
“Bayangkan kalau saya mengandung nanti, takut jadi perkara yang tidak diingini pula dan lebih baik saya fokus kepada program itu dahulu sebelum mengandung,” katanya.
Meski pun kehidupan Yasmin sekarang ini hanyalah bersama suami tercinta, Yasmin mengakui semakin bahagia dengan kasih sayang yang sentiasa dicurahkan oleh suaminya setiap masa. – My News Hub
0 comments:
Post a Comment