Pak Nil tergugat?






Mempertahankan takhta pengacara paling popular selama lapan tahun berturut-turut, satu rekod baru dicipta personaliti popular bernama Aznil Nawawi.

Bagaimanapun, sejak trofi tersebut beralih tangan kepada Zizan Razak dalam Anugerah Bintang Popular (ABP) 2011 lalu, ramai mengandaikan zaman suram Aznil semakin hampir.

Bagi sang empunya diri yang lebih mesra disapa sebagai Pak Nil, bukan naik atau turun populariti menjadi fokusnya kini.

Sebaliknya, Pak Nil percaya dia sudah mempunyai kedudukan tersendiri dalam industri seni tanah air.

"Apa yang lebih penting, saya dapat bertahan selama 22 tahun sebagai pengacara dan personaliti televisyen.

"Saya sudah cukup bersyukur dengan kedudukan yang saya kecapi sekarang," luah Pak Nil jujur yang baru sahaja namanya terukir dalam Malaysia Book of Records (MBoR) sebagai pengacara paling lama bertahan.

Selebriti yang cukup dikenali dengan perwatakan peramah ini ditemui ketika majlis memperkenalkan wajah personaliti terbaru, stesen televisyen berbayar, Astro, baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai kehadiran pengacara generasi baru yang semakin bertambah, anak jati Kuala Lumpur ini tidak sedikit pun menganggapnya sebagai saingan.

Sebaliknya, bagi Pak Nil, dia memang berhasrat untuk melihat lebih ramai bakat pelapis dalam bidang pengacaraan dilahirkan.

Bukan sekadar cakap kosong, Pak Nil membuktikannya apabila dia sendiri menggalas tanggungjawab sebagai Naib Presiden dan Ketua Ambasador Bahagian Pengurusan Bakat Televisyen Astro.

Pada majlis berkenaan, Pak Nil turut memperkenalkan bahagian tersebut yang ditubuh bagi memastikan perjalanan karier bakat kelahiran Astro disusun rapi.

Antara bakat-bakat muda yang dilatih oleh bahagian ini ialah barisan pengacara baru kelahiran program realiti, On Air.

"Saya dan tenaga pengajar lain akan membimbing dan melatih mereka untuk menjadi pengacara versatil.

"Mereka semuanya berbakat besar dan saya yakin, jika 'diasuh' dengan betul mereka mampu menyerikan lagi dunia pengacaraan tempatan," kata hos rancangan Akademi Fantasia (AF) ini.

Selain Pak Nil, tenaga pengajar lain yang dipilih turut mempunyai pencapaian dan pengalaman dalam bidang masing-masing antaranya Suhaimi Sulaiman, Dang Suria, Profesor Datuk Dr Mat Saat Baki, Puan Sri Ampikaipan dan Cikgu Syafi.

Mula dari bawah

Menyemak kembali pembabitan Pak Nil di bidang ini, bukan mudah sebenarnya untuk dia menempatkan diri dalam kelompok hos terkenal negara.

Jika dibandingkan dengan zamannya dahulu, Pak Nil menyifatkan laluan bergelar pengacara lebih mudah pada masa kini.

"Peserta On Air misalnya bertuah kerana ada program yang memberi peluang untuk mereka menjadi pengacara.

"Biarpun pengalaman kosong, mereka akan diberi tunjuk ajar untuk meneroka kebolehan diri," katanya.

Mungkin ramai tidak tahu Pak Nil mengambil masa 13 tahun untuk membina nama sebelum dianugerahkan trofi pengacara paling popular.

"Sejak dari dulu saya bercita-cita untuk muncul di kaca televisyen. Ketika itu, nama seperti Wan Zaleha Radzi dan (Datuk) Mahadzir Lokman menjadi inspirasi saya untuk berjaya seperti mereka.

"Saya bermula sebagai wartawan penyiaran TV3 dan hanya mendapat tunjuk ajar daripada kakitangan bilik berita.

"Selain itu, semuanya perlu dipelajari sendiri. Pendedahan itulah yang telah mengangkat saya ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Dalam pahit ada manis. Namun, bagi Pak Nil, dia telah menikmati keindahan karier sepanjang 22 tahun bergelar hos dan personaliti televisyen.

"Dapat bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat adalah pengalaman yang paling mahal saya perolehi.

"Alhamdulillah, Tuhan masih memberi kesempatan untuk saya mencurahkan ilmu dimiliki kepada masyarakat di luar sana," katanya.

Impi program keagamaan

Bakal menjengah usia 50 tahun, November ini, Pak Nil meluahkan hasratnya untuk muncul dalam program berbentuk keagamaan.

Bukan bermakna dia sudah tidak mahu mengacarakan rancangan hiburan, cuma jelas Pak Nil, dia ingin mencabar kemampuan diri.

"Jika diberi peluang oleh Astro, saya teringin tampil dalam rancangan agama yang selama ini didominasi mereka yang berimej serban dan kopiah.

"Selama ini saya berjaya menarik orang menonton program hiburan, jadi apa salahnya jika tarikan itu digunakan untuk program agama pula.

"Sekiranya tercapai, saya mahu membawa perubahan dengan gaya santai tetapi masih mengekalkan imej saya seperti sekarang," katanya.

Sebagai persediaan, kata Aznil, dia kini mula berhijrah sedikit demi sedikit.

"Secara dalamannya, saya akui sedang berubah untuk menjadi insan yang lebih baik terutamanya dalam ilmu agama.

"Malah, saya sedang mencari seorang guru untuk membantu saya lebih mendalami agama," katanya. 

-sinarharian

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story