NAMA Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) masih berbisa! Kali ini badan bukan kerajaan (NGO) itu kembali lagi menjalankan tugas dalam melindungi hak-hak pengguna yang teraniaya.
PPIM tular dalam kalangan pengguna media sosial tempatan sejak beberapa hari lalu apabila terbabit membongkar syarikat produk kopi terkenal jenama Pak Belalang setelah ‘diserang’ ribuan pelabur yang dikatakan telah ditipu.
Pengeluar minuman milik jutawan Datuk Seri Dr Rozaini Hasan itu didakwa telah berjaya memperdayakan lebih daripada 300 ribu mangsa dari seluruh Malaysia yang didakwa tertarik untuk melabur dalam syarikat tersebut.
Susulan perkara itu, PPIM diketuai Pengarah Unit Tindakan Khasnya, Muhammad Yusuf Azmi bersama beberapa orang aktivis lain ‘menerjah’ pejabat dan kilang syarikat kopi berkenaan di Shah Alam, Selangor.
Hasil daripada tinjauan, PPIM mendapati isu bermula apabila syarikat berkenaan didakwa menjalankan kutipan wang tanpa lesen pihak berkuasa dengan konon menjanjikan pulangan berganda-ganda kepada pelabur.
Namun, janji manis itu hanya bersifat indah khabar daripada rupa apabila para pelabur terbabit pula gagal mendapat semua wang pelaburan seperti mana yang dijanjikan dalam terma agreement.
Ekoran tidak berpuas hati, mangsa telah mengemukakan laporan kepada pihak PPIM dan NGO tersebut kemudian telah bergerak sendiri ke lokasi pejabat syarikat berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian.
Menurut laporan BrigadeTV News, sejurus tinjauan, PPIM mendapati syarikat tersebut sebenarnya menggunakan sistem pelik disebut sebagai Abdul Rahman Bin Auf atau lebih dikenali dengan ARBA dalam pengurusannya.
Ketua unit pembangunan sosial PPIM, Abdul Halim Ikhsan berkata, pada kebiasaannya sistem tersebut dikatakan berjaya namun untuk kes kali ini ia dilihat berlaku penyelewengan wang.
“Biasanya sistem Abdul Rahman bin Auf ni, sistem dia berjaya. Tapi sebab bukan Abdul Rahman bin Auf yang original, jadi dia tak berjaya lah,” katanya kepada portal berkenaan.
Dalam pada itu, beliau mengakui tidak berpuas hati kerana sehingga hari ini pihaknya masih gagal untuk berhubung dengan pengasas produk minuman berkenaan walaupun sudah digesa untuk tampil memberi kenyataan.
“Saya rasa apa yang saya dapat adalah satu titik permulaan tetapi pihak kami tidak puas hati kerana tidak dapat berhubung dengan Datuk Rozaini dan orang yang rapat dengannya dalam menjalankan perniagaan Kopi Pak Belalang,” ujarnya dengan nada kecewa.
Tambahnya lagi, pengasas kopi berkenaan juga didakwa telah melabur sejumlah wang ke negara jiran antaranya Indonesia dengan membuka satu lagi cawangan di sana hasil menggunakan duit client.
“Tolong dapatkan Datuk Rozaini. Saya dapat tahu dia ni telah labur duitnya di Indonesia. Dia telah buat satu lagi cawangan di sana menggunakan duit orang ramai dan cuba alih duit itu ke Indonesia.
“Saya takut duit yang ada sekarang ini dialihkan ke Indonesia dan saya tidak tahu mungkin dah banyak duit itu dialihkan sekaligus membuat pelaburan di sana,”tambahnya lagi.
Justeru, Halim menggesa pihak Imigeresen dan polis untuk segera mengambil tindakan tegas kerana PPIM sendiri telah menerima banyak laporan berhubung permasalahan skim pelaburan syarikat itu.
“Saya harap pihak imigresen sekat Datuk Rozaini atau konconya daripada ke luar negara. Saya juga mohon pada pihak polis agar ambil tindakan kerana lebih 200 reporttelah dibuat oleh mangsa namun masih tidak berjaya,” gesa Halim.
Sementara itu, PPIM juga telah memberi amaran kepada jutawan berkenaan agar tampil segera untuk memberi penjelasan terhadap segala tuduhan oleh mangsa-mangsa syarikat tersebut.
Jika tidak, PPIM dilaporkan tidak teragak akan mengambil tindakan tegas termasuk menyerang syarikat tersebut yang dikatakan berpusat di Sungai Petani, Kedah.
Halim berkata lagi, sekiranya tindakan drastik itu dibuat ia tentu akan memberi kesan lebih besar terhadap negara.
“Saya dah maklumkan kepada Datuk Rozaini dan pembantunya, kita tak nak perkara ini jadi besar sebaliknya kalau boleh ingin menyokong syarikat itu dapat lebih maju ke hadapan.
“Tetapi, dia telah cabar PPIM. Sebelum kami buat tindakan selanjutnya dengan pergi ke Sungai Petani bersama mangsa, adalah lebih baik jika dia hubungi kami dengan kadar segera,” katanya.
Hasil tinjauan daripada beberapa sumber, MYNEWSHUB difahamkan jumlah wang yang dilaburkan oleh mangsa bermula daripada serendah RM5,000 dan paling banyak sehingga RM3.8 juta.
Lebih kejam, terdapat juga laporan daripada mangsa yang memberitahu telah disaman sebanyak RM17 ribu oleh syarikat tersebut pula. – MYNEWSHUB.CC/AM
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment